Sunday, July 17, 2016

KAUNSELING KELUARGA (SATU PENDEKATAN)




Keluarga

Hubungan – hubungan kekeluargaan pada asasnya memainkan peranan penting di dalam pemeliharaan dan sosialisasi anak-anak, menentukan taraf serta kedudukan kelas sosial seseorang individu.  Ianya merupakan kelompok asas di mana ahli-ahlinya mempunyai hubungan emosional yang rapat.  Keluarga dianggap sebagai institusi yang terawal dan terulung.
            Keluarga adalah suatu institusi yang sejagat terdiri daripada individu-individu yang mempunyai pertalian darah yang mempunyai bentuk-bentuk hubungan yang tertentu di dalam menyelenggarakan aktiviti rumahtangga.  Namun begitu bentuk-bentuknya berbeza berdasarkan kebudayaan serta pola perhubungan antara ahli-ahlinya.  Keluarga juga dianggap sebagai sebuah institusi masyarakat yang berkekalan sepanjang zaman dan merupakan penyumbang utama kepada pembangunan negara melalui kelahiran generasi warisan negara.  (Raj Abdul Karim, 1996).
            Keluarga yang berkualiti pada zahirnya mampu untuk membentuk generasi yang berdikari, berdaya tahan, berilmu, bersifat saingan, berkemahiran dan produktif.  Peranan keluarga adalah amat penting ke arah melahirkan sumber tenaga manusia untuk pembangunan sesebuah negara.  Pembangunan keluarga dan manusia tidak dapat berlaku dengan sempurna tanpa perancangan dan sokongan semua sektor masyarakat.
            Friedman (1981) menyatakan bahawa keluarga adalah suatu sistem yang sentiasa berubah dan berkembang.  Worsley et al. (1977) pula menyatakan bahawa keluarga adalah suatu institusi yang mempunyai perhubungan tertentu berasaskan kepada perkahwinan dan “parenthood” di mana ahli-ahli utamanya sering tinggal bersama.  Menurut G.P. Murdock pula keluarga merupakan sebuah institusi di mana ahli-ahlinya mempunyai tempat tinggal yang sama serta saling bekerjasama untuk menyara hidup mereka.  Ahli-ahlinya terdiri daripada orang-orang dewasa lelaki dan perempuan dan sekurang-kurangnya dua dari mereka itu mempunyai pertalian serta perhubungan seks yang sah.  Ianya juga terdiri daripada anak-anak kandung ataupun anak-anak angkat yang dibela orang-orang dewasa berkenaan iaitu ibubapa (Gerson R., 1995).

Kaunseling Keluarga

Terapi keluarga merupakan satu bentuk di dalam psikoterapi yang akan melibatkan ahli keluarga di dalam keluarga asas (nuclear) mahupun keluarga besar (extended).  Biasanya terapi yang dijalankan melibatkan seorang ataupun sekumpulan ahli terapi yang terlatih.  Pergerakan terapi kekeluargaan berkembang hasil usaha sekumpulan pekerja sosial serta ahli psikiatri.  Namun begitu Nathan W. Ackerman telah dikenalpasti sebagai pengasas kepada terapi keluarga.  Beliau menerima latihan sebagai seorang psikoanalisis serta merupakan seorang ahli psikiatri kanak-kanak namun begitu beliau amat terpengaruh dengan psikologi sosial yang percaya bahawa konflik yang dihadapi oleh setiap individu akan dipengaruhi oleh pelbagai faktor terutama faktor persekitaran dan biological (Hanse & L’Abate, 1982).
            Setiap ahli terapi keluarga akan memerlukan model tertentu untuk diaplikasikan terhadap keluarga yang memerlukan bantuan mereka.  Setiap model yang dipilih dan digunakan ini akan berfungsi untuk membantu ahli terapi keluaga untuk mengenalpasti, menilai serta memahami permasalahan yang ditimbulkan oleh kliennya.  Setiap kerangka teoritikal akan memandu terapis untuk memahami bagaimana, bila serta tahap mana sesesuatu intervensi itu perlu dilaksanakan.
            Terapi keluarga pada asasnya adalah berdasarkan prinsip “behavioral” (tingkahlaku) dan prinsip psikodinamik.  Namun begitu bentuknya telah diperluaskan dan tertumpu kepada sistem keluarga.
            Glading (1998) menyatakan bahawa terapi keluarga bertujuan untuk merawat individu di dalam konteks keluarga dan ahli-ahli keluarga sebagai sumber dan tenaga sokongan yang maksimum.  Virginia Satir (1975) pula mendefinisikan bahawa terapi keluarga merupakan satu kaedah rawatan yang merangkumi keseluruhan ahli keluarga yang tinggal bersama.

Teori Sistem Keluarga


Goldenberg dan Goldenberg (2000) telah mengemukakan beberapa konsep asas teori sistem-sistem umum (general systems theory) seperti diutarakan oleh ahli biologi Ludwig Von Bertalanffy pada lewat 1920an.  Teori ini kemudiannya dikembangkan selepas beberapa dekad dan menghuraikan model-model yang sesuai dalam semua sistem kehidupan dengan memberi tumpuan kepada pola-pola perhubungan di dalam sistem-sistem dan di antara sistem dengan sistem yang lain.  Model yang dikemukakan oleh Bertalanffy ini kemudiannya telah diaplikasikan di dalam bidang sains, sains sosial, perubatan dan falsafah.  Ahli terapi keluarga mencari sesuatu model yang bersifat saintifik kerana didapati model seumpama itu boleh mencetuskan pertukaran pendapat di antara ahli keluarga secara khususnya melalui sifat-sifat dan ciri-ciri yang ada pada setiap ahli keluarga.  Konsep-konsep di dalam sistem ini menurut pengarang, menjadi bahasa yang berguna dalam melihat interaksi proses-proses yang berlaku di dalam keluarga.
            Kebanyakan ahli-ahli terapi keluarga menggunakan teori sistem umum ini terutamanya konsep homeostasis (untuk menghuraikan keluarga sebagai mencari keseimbangan di antara kestabilan dan perubahan) dan sistem terbuka (open system) untuk menerangkan bagaimana keluarga dapat bertahan melalui pertukaran maklumat dengan persekitarannya.  Pada masa yang sama menerima konsep-konsep terkini (cybernatic concepts) sebagai suatu kitaran yang membantu mengetahui dan mengenalpasti perhubungan di antara ahli-ahli keluarga untuk mendapatkan maklumbalas membetulkan diri (self-corrective feed back loops) bagi membantu sistem keluarga mengekalkan dan memperkukuhkan keluarga berkenaan.
            Teori sistem (system theory) muncul sebagai satu konsep keseluruhan merangkumi satu teori umum dan terkini yang memberi tumpuan kepada hubungan di antara elemen-elemen khususnya elemen-elemen di dalam keluarga.  Teori sistem ini telah menyediakan suatu asas untuk intervensi kefahaman teraputik bagi mengkaji keluarga, termasuklah secara individu, pasangan, keluarga asas, keluarga asal, sistem perubatan dan dalam konteks yang lebih luas lagi (seperti sekolah dan tempat kerja) serta di dalam konteks budaya dan etnik.  Pada masa-masa tertentu teori sistem ini telah memberi terapis suatu paradigma di mana mereka dapat melihat pelbagai sebab dan konteks tingkahlaku dalam menjelaskan tentang aspek kekeluargaan.

Ciri-ciri Sistem Keluarga


Konsep ‘organization’ dan ‘wholeness’ adalah kunci untuk memahami bagaimana sistem keluarga beroperasi.  Jika sistem ini menyediakan satu set unit yang berhubungan secara konsisten antara satu sama lain, maka kita boleh merumuskan bahawa sistem wujud menerusi perhubungan di antara elemen-elemen yang berinteraksi antara satu dengan lain mengikut gaya yang telah disusun dan dijangkakan.  Ringkasnya, diandaikan bahawa kombinasi elemen-elemen ini akan menghasilkan satu entiti secara keseluruhannya.

            Sistem keluarga di mana setiap ahli disusun dalam satu kumpulan, membentuk keseluruhan (wholeness).  Memahami hubungan dinamik di antara komponen (ahli keluarga) adalah jauh lebih jelas daripada hanya mengetahui tentang komponen-komponen yang terkandung di dalamnya (Ackerman, 1984).  Perhubungan di antara ahli kelaurga adalah kompleks; dan dalam kumpulan yang kecil, perikatan, pergabungan dan tekanan-tekanan akan timbul di mana lazimnya sebab musababnya adalah bersifat putaran dan pelbagai arah (circular and multidirectional).
            Menurut Nichol dan Everett (1986), cara penyusunan sesebuah keluarga menjelaskan struktur asasnya iaitu kesepaduan/kejelekitan dan kesesuaian keluarga sepertimana yang dikatakan oleh pengarang juga, boleh disusun secara rigid, diketuai secara dominan oleh lelaki, isteri yang sentiasa taat dan anak-anak yang memberontak atau tidak puas hati; atau mungkin anak-anak yang menurut dan isteri yang baran dan pelawan.  Atau sebaliknya, keluarga matriarch di mana isteri lebih dominan berbanding suaminya yang pasif dan anak-anak yang terperangkap dalam dilema ibu dan ayah mereka.  Walau apapun organisasi keluarga tetap memberikan petunjuk tentang bentuk interaksi di dalam keluarga tersebut.
            Menurut tinjauan Leslie (1988), pergerakan sesuatu komponen mempengaruhi keseluruhan sistem di mana beliau menerangkannya sebagai pergerakan sebahagian daripada sistem keluarga.  Dengan memfokuskan kepada fungsi satu elemen (ahli) keluarga sahaja adalah tidak mencukupi untuk memahami hubungan di antara ahli keluarga dan keseluruhan sistem yang disusun atur.  Contohnya, keluarga yang mempunyai dua orang anak bukan sahaja menambah bilangan ahli keluarganya bila bayi baru dilahirkan.  Kini keluarga tersebut menjadi satu entiti yang baru dengan berlakunya beberapa perubahan pola-pola interaksi dalam keluarga tersebut.  Kanak-kanak dalam keluarga berkenaan mungkin merasa cemburu dan tidak lagi dipedulikan oleh ibunya kerana pada ketika ini perhatian lebih ditumpukan kepada adiknya atau bayi yang baru dilahirkan.  Dalam perspektif ini, sistem tadi melihat bagaimana keluarga akan mengatur semula fungsi-fungsinya supaya lebih difahami, diterima dan disesuaikan dengan ahli-ahlinya.  Misalnya, si ibu menumpukan sepenuh perhatian kepada anak kecil dan si bapa pula lebih bertanggungjawab kepada anak-anak yang lain.  Manakala anak yang sulung dididik supaya boleh membantu ibunya yang sedang menjaga adik kecilnya.

Peraturan-Peraturan Dalam Keluarga


Menurut Goldenberg dan Goldenberg (2000), keluarga adalah satu sistem pengurusan peraturan yang cybernatic.  Interaksi setiap ahli keluarga secara tipikal mengikut susunan pola-pola yang telah ditetapkan adalah berdasarkan kepada struktur keluarga.  Pola-pola ini membantu setiap ahlinya mempelajari dan memahami apa yang dibenarkan atau dijangkakan dalam urusan keluarga berkenaan.  Peraturan-peraturan ini bersifat teratur dan berperanan menstabilkan setiap fungsi di dalam keluarga sebagai satu unit walaupun biasanya ianya tidak tertulis di mana-mana.  Bentuk keluarga secara asasnya berkembang secara tradisi dan ditentukan oleh jangkaan-jangkaan setiap kalangan ahli keluarga.  Peraturan-peraturan keluarga ini menjadi satu nilai yang membantu membentuk peranan di dalam keluarga secara konsisten melalui proses-proses tertentu yang saling bergantungan di antara satu sama lain di dalam satu sistem.  Peraturan-peraturan ini biasanya diturunkan dari satu generasi kegenerasi seterusnya di mana ia juga dipengaruhi oleh unsur-unsur budaya yang kuat.
            Peraturan-peraturan di dalam keluarga akan menentukan pola-pola tingkahlaku manusia.  Seperti yang dikemukakan oleh Jackson (1965) dan ahli-ahli terapi keluarga yang awal, peranan merupakan suatu prinsip pengurusan kehidupan keluarga yang menyediakan garis panduan bagi pola-pola interaksi pada masa hadapan.  Jackson juga mengemukakan konsep ‘marital quid pro quo’ untuk menghuraikan hubungan perkahwinan yang baik di mana wujudnya peraturan yang bersifat memberi dan menerima di antara pasangan.
            Komunikasi di dalam keluarga menurut Jackson (1965), memberi kelebihan kepada ahli keluarga berinteraksi dan bertingkahlaku serta lebih memahami peranan masing-masing secara terbuka.  Komunikasi yang baik di dalam keluarga juga amat berguna bagi mengenalpasti hubungan yang bersifat dalaman seperti keperluan-keperluan individu ahli keluarga, dorongan, tret personaliti dan menentukan ciri-ciri interaksi di antara ahli keluarga.
            Peraturan-peraturan keluarga yang bertujuan bagi membina dan mengekalkan hubungan kekeluargaan boleh menjadi sesuatu yang diskriptif (sesuatu yang bersifat metafora), atau preskriptif (berbentuk arahan-arahan boleh atau tidak).  Peraturan yang bersifat diskriptif selalunya berdasarkan kepada hak-hak keistimewaan dan kewajipan individu yang ditentukan oleh faktor umur, jantina atau general.  Sebahagian daripada peraturan ini boleh dirundingkan, namun bagi keluarga yang bersifat rigid mungkin terlalu banyak peraturan-peraturan dikenakan kepada ahli-ahlinya berbanding dengan keluarga bermasalah yang biasanya mempunyai terlalu sedikit pula peraturan-peraturan keluarga.  Apapun bentuk struktur keluarga, setiap ahlinya akan mempelajari dan memahami peraturan–peraturan yang bersifat metafora (meta rules) yang dikenakan secara lateral.
            Peraturan yang bersifat preskriptif pula berbentuk arahan-arahan boleh atau tidak.  Misalnya, kanak-kanak tidak boleh mencelah percakapan ibubapa, pakaian itu mestilah disangkut, menentukan waktu tidur anak dan sebagainya.  Kebanyakan peraturan keluarga adalah bersifat tersembunyi dan tidak bertulis.  Setiap ahli keluarga terutamanya kanak-kanak belajar memahami dan mengekalkannya menerusi pola-pola perhubungan dan pemerhatian yang dilakukan.  Contohnya, anak-anak akan meminta duit dari ibunya selepas makan malam bila ibunya berada dalam mood yang baik.  Lebih suka menunjukkan buku laporan kepada ibu kerana bapa seorang yang garang.
            Ibubapa bertindak mengikut peraturan-peraturan tersembunyi mereka sendiri.  Misalnya anak perempuan membantu membuat kerja-kerja di dapur, anak lelaki diberi lebih kebebasan berbanding dengan anak perempuan.  Kita juga lebih percayakan anak perempuan memegang wang berbanding anak lelaki.  Kadang-kadang peraturan-peraturan keluarga ini tidak dinyatakan tetapi boleh difahami oleh semua orang.  Keputusan yang dibuat oleh ibubapa diturunkan kepada anak-anak dan mereka akan mempelajari dan memahaminya.  Dalam hal yang lain ahli keluarga mungkin belajar mempunyai pendapat sendiri tentang peraturan-peraturan keluarga secara bebas.  Sesebuah keluarga yang berfungsi dengan baik, peraturan-peraturan akan membantu mengekalkan kestabilan dan pada masa yang sama membenarkan perubahan-perubahan berlaku di dalam keluarga.  Oleh itu, bagi sesebuah keluarga, peraturan yang ada perlulah konsisten dan disampaikan dengan jelas kepada semua ahlinya (komunikasi yang jelas).

Homeostasis Keluarga


Kajian fisiologi oleh Walter Cannon (1932) pertama kali mengemukakan konsep keseimbangan dinamik untuk menjelaskan keupayaan badan bertindak sebagai suatu sistem kendiri yang teratur (self regulating system) bagi mengekalkan keupayaan mengatasi perubahan-perubahan drastik yang berlaku di sekelilingnya.  Contohnya, walaupun berlaku perubahan suhu di luar badan (persekitaran) namun suhu badan tetapi lebih kurang sama iaitu 98.6 F kerana pelbagai mekanisma di dalam badan akan bertindakbalas untuk mengekalkan kestabilan suhu badan yang disebabkan oleh perubahan suhu luaran tadi.  Kecenderungan badan mengekalkan keseimbangan inilah yang dipanggil homeostasis.  Merujuk kepada konsep cybemetic, badan dilihat sebagai suatu sistem biososial dinamik yang membuat pertukaran maklumat dengan dunia luarnya dengan menggunakan proses maklumbalasnya untuk mengekalkan kestabilan di dalam badan.
            Para pengkaji dan teori-teori keluarga yang awal yang diketuai oleh Bateson dan Jackson telah mengaplikasikan konsep cybemetic ini untuk menerangkan sistem keluarga.  Mereka mengandaikan sistem keluarga yang terancam sebagai suatu mekanisma homeostasis yang berusaha mencapai keseimbangan semula.  Proses homeostasis ini menerangkan bagaimana cara keluarga mengalami perubahan ketika menghadapi masalah dengan menunjukkan simptom-simptom tingkahlaku tertentu.  Dalam kes-kes tertentu, simptom-simptom yang ditunjukkan oleh ahli keluarga dilihat sebagai usaha homeostasis untuk mengekalkan keseimbangan keluarga.  Dalam keadaan ini, peraturan-peraturan di dalam keluarga akan membantu mengatur pola-pola interaksi dan seterusnya menstabilkan hubungan keluarga dan keseimbangan akan dicapai apabila simptom-simptom ini dapat dikenalpasti dan diatasi melalui proses homeostasis.

Maklumbalas, Maklumat dan Kawalan


Maklumbalas sentiasa terjadi dalam keluarga.  Ianya juga mempengaruhi hubungan antara ahli keluarga.  Maklumbalas dalam keluarga boleh berbentuk perbuatan ataupun kata-kata. 

Contoh-contoh maklumbalas dalam bentuk perbuatan ialah:

§ Isteri tidak senyum apabila suami balik dari kerja;
§ Suami tidak mahu makan di rumah;
§ Anak tidak mahu ke sekolah.

Contoh-contoh maklumbalas dalam bentuk kata-kata ialah:

§ Pujian dari isteri;
§ Kritikan daripada suami;
§ Nasihat kepada anak.

            Dalam erti kata lain, setiap kali kita memberi maklumbalas sebenarnya kita melakukan dua perkara:

§ Kita memberitahu orang itu persepsi kita terhadap dirinya; dan
§ Kita memberitahu orang itu perasaan kita terhadap dirinya, tanpa menggunakan bahasa yang negatif dan tanpa menghukum dirinya.

            Maklumat daripada maklumbalas boleh jadi bersifat positif atau negatif namun ianya bukanlah satu petunjuk kepada penilaian yang baik atau buruk.  Kedua-duanya berfungsi untuk membetulkan diri (self-correctiveness mechanisme) bagi tujuan mengekalkan kestabilan sistem dalam tindakbalasnya terhadap maklumat-maklumat baru dan menetapkan homeostasis untuk menghadapi perubahan.

i.         Maklumbalas negatif adalah proses-proses maklumbalas yang menentang penyelewengan atau penyimpangan, mengekalkan status quo dan menentang atau menerima perubahan secara minimum.  Contoh maklumbalas negatif ialah kritikan, teguran, nasihat, cemuhan, kutukan dan perlecehan.

ii.       Maklumbalas positif pula adalah proses menerima maklumat tentang penyelewengan atau penyimpangan operasi sistem dan melakukan perubahan ke atas sistem dengan cara mengubahsuai struktur.  Ianya merupakan satu bentuk ganjaran yang diberi melalui pengiktirafan, pujian, penghargaan dan sanjungan.

            Sistem keluarga memerlukan maklumbalas positif dan negatif sebagai satu cara bertindak untuk mendapatkan maklumat baru untuk melakukan perubahan atau mengekalkan status quo dalam sistem keluarga.  Kebanyakan orang tidak menggunakan cara-cara yang betul apabila memberi maklumbalas.  Akibatnya maklumbalas itu tidak berkesan kerana ia tidak menolong orang itu mengubah sikap, tabiat dan tingkahlakunya.  Malah ia mungkin menimbulkan kesan negatif pula kepada orang itu sendiri dan kepada perhubungan antara mereka berdua.  Contohnya, anak yang sedang meningkat remaja lebih cenderung menuntut kebebasan dari keluarga dan bersifat self-direction.  Ini boleh mengakibatkan ketidakstabilan sistem keluarga menerusi unsur paksaan yang dikenakan.  Keluarga yang berfungsi biasnaya boleh mengubah keadaan ini melalui perundingan di mana anak remaja tadi akan diberikan keistimewaan dan tanggungjawab.  Di sini keluarga akan menerima maklumbalas serta menghargai perubahan berlaku.
            Mekanisma maklumbalas positif berperanan, di mana keluarga membuat penyesuaian diri terhadap perubahan dengan pengubahsuai struktur keluarga supaya kestabilan sistem keluarga terhasil.  Ia mempunyai pengaruh yang kuat ke atas motivasi seseorang untuk mengukuhkan lagi sikap, tabiat, tingkahlaku, perbuatan dan daya usahanya.  Perbuatan buruk sekalipun sekiranya mendapat pujian atau pengiktirafan dari orang lain akan menggalakkan orang tersebut melakukannya secara berulang.  Namun kajian pakar psikologi menunjukkan kita suka kepada orang yang memberi maklumbalas positif.  Maklumbalas positif tidak semestinya datang daripada orang yang baik.  Ramai orang terpedaya dengan orang-orang yang memberikan maklumbalas positif kepadanya kerana menyangka orang-orang itu orang yang baik.  Sebagai contoh, ramai gadis menjadi mangsa lelaki jahat kerana termakan dengan kata manis dan pujian daripada mereka.
            Sementara itu maklumbalas negatif pula akan terus beroperasi sehingga sebarang perubahan diperlukan dan keluarga tersebut telah berjaya menghadapi perubahan dengan efektif dan mengekalkan kestabilan sistem keluarganya.  Maklumbalas negatif mempunyai kesan negatif ke atas motivasi, sikap tingkahlaku, perbuatan dan daya usaha seseorang itu.  Perbuatan baik, sekiranya mendapat kritikan tidak akan membuatkan orang itu mengulangi perbuatan baiknya lagi.  Namun kajian tetap juga menunjukkan bahawa kebanyakan orang, tidak suka kepada orang-orang yang memberi maklumbalas negatif walaupun mereka terdiri daripada orang yang baik.  Contohnya kebanyakan remaja tidak suka kepada golongan agama kerana mereka selalu memberikan maklumbalas negatif terhadap golongan muda dalam ucapan-ucapan mereka.
            Bagi keluarga yang kurang berfungsi dan mempunyai lebih banyak maklumbalas negatif mungkin akan menghadapi banyak masalah dalam mengadaptasi perubahan.  Contohnya, ibubapa yang memperlakukan anak remaja mereka seperti kanak-kanak hanya akan membantutkan kematangan anak mereka.  Maklumbalas positf yang diharapkan akan membantu mereka berubah dan mengubahsuai sistem mungkin tidak akan dapat berfungsi tanpa bantuan maklumbalas negatif yang akhirnya akan menyebabkan remaja tersebut menjadi liar dan menentang peraturan-peraturan keluarga.  Maklumbalas tidak disorot dari segi niatnya, tetapi dari segi penilaian yang terkandung di dalamnya.  Oleh sebab itu, ramai yang tidak menyangka bahawa nasihat adalah maklumbalas negatif.  Walaupun nasihat mempunyai niat yang baik tetapi ia mengandungi penilaian negatif terhadap orang yang dinasihati.  Sesuatu maklumbalas itu dikatakan negatif apabila ia diucapkan dengan menggunakan bahasa negatif seperti:
            “Awak mesti insaf bahawa awak telah melakukan kesalahan dan menyebabkan keluarga awak mendapat malu”.
            “Kenapa awak tak mahu bertanggungjawab?”

            Kesilapan dalam memberi maklumbalas ini dapat dilihat dengan lebih jelas dalam contoh-contoh di bawah:

            i.    Salah niat – di mana sering maklumbalas dibuat kerana niat negatif atau untuk menyakiti hati orang itu.  Kita sebenarnya ingin memberitahu orang itu bahawa kita lebih baik, pandai, alim dan lain-lain dengan menyatakan “Awak mestilah lebih bertanggungjawab” atau “Saya tahulah awak tu pandai, lulus universiti, pasal tu awak angkuh” dll.

            ii.    Memaksa – supaya orang itu menerima maklumbalas yang kita buat seperti “Saya suami, jangan lawan cakap saya”.

            iii.   Membuat label – menamakan sesuatu sifat atau perbuatan.  Hal ini sangat menyakitkan hati kerana ia juga mencerminkan penilaian dan hukuman.  Contohnya “Awak bodoh” “Jangan buat kerja sia-sia” dll.

            iv.   Terlalu banyak maklumbalas – sering terdapat dalam leteran sehingga orang yang dileteri tidak dapat menerima semua maklumbalas itu.  Contohnya:

“Sikat rambut awak tu” (satu maklumbalas)
“Awak ni selekeh saja sepanjang hari.  Tak reti sikat rambut, ke?  Berserabut, tak terurus.  Pakaian awak pun selekeh.  Tak ada pakaian lain lagi ke?  Asyik pakai kain batik lusuh dengan T-Shirt.  Macam orang gaji saja.  Cubalah pakai elok sikit.  Muka tu pucat macam bangun tidur, cubalah sapu bedak sikit walaupun kat rumah”. (lapan maklumbalas).

            v.   Perkara itu tidak boleh diubah – seperti paras rupa, warna kulit dll.  sehingga tak ada gunanya kita memberi maklumbalas.

Subsistem

Sesebuah sistem biasanya telah diaturkan kepada satu set hubungan yang lebih kurang stabil, berfungsi dalam ciri tertentu dan akan terus berada dalam proses perkembangan dalam usaha mencari keadaan baru yang lebih kukuh.  Subsistem pula adalah bahagian-bahagian dari keseluruhan sistem yang ditugaskan bagi menjalankan fungsi-fungsi / proses-proses tertentu dalam sistem keseluruhannya.  Setiap sistem adalah sebahagian daripada suprasistem yang besar dan mengandungi subsistem-subsistem yang lebih kecil di mana ianya pula menjadi suprasistemnya.
            Keluarga biasanya mengandungi subsistem-subsistem.  Hubungan suami dan isteri membentuk satu subsistem; begitu juga dengan ibu dan anak; bapa dan anak; dan anak dan anak.  Menurut Minuchin (1974) dalam sesebuah keluarga, subsistem boleh dibentuk melalui generasi (contohnya ibu dan bapa), atau melalui fungsi (penjaga).  Melalui setiap satu subsistem ini, tahap kuasa yang dimiliki adalah berbeza; kebolehan/kemahiran yang dipelajari adalah berbeza dan tanggungjawab yang ditentukan juga adalah berbeza.  Sebagai contoh, anak yang sulong mungkin mempunyai kuasa yang lebih dalam sistem adik beradiknya tetapi kuasa itu tidak pula dapat mengatasi kuasa yang ada pada ibubapanya.
            Memandangkan setiap ahli keluarga adalah ahli kepada beberapa subsistem pada masa yang sama, dia sebenarnya mempunyai nilai hubungan yang berbeza dengan ahli-ahli dalam subsistem tertentu.  Contohnya seorang wanita boleh menjadi seorang isteri, ibu, anak perempuan, kakak, adik perempuan, anak buah perempuan, cucu perempuan dan lain-lain dalam satu masa yang sama.  Pada setiap subsistem di mana dia menjadi ahlinya, dia akan memainkan peranannya yang berbeza dan dijangka akan melibatkan dirinya dalam hal-hal pengurusan yang berbeza.  Contohnya: sewaktu sedang memberikan nasihat mencari kerja melalui telefon kepada adik perempuannya, Rosni telah diminta oleh suaminya agar berhenti berbual dan bersegera untuk makan malam.  Di sini Rosni perlu menentukan bagaimana untuk menerangkan kepada suaminya.  Sejurus kemudian Rosni teringat pula bagaimana dia juga tidak ingin rasa dilukai apabila anak-anak menolak untuk makan makanan yang telah disediakannya.  Dia juga telah memberikan respon secara diplomasi apabila ibunya yang menjadi tetamu makan malam memberinya nasihat bagaimana untuk memperbaiki susunan meja makannya.

Batasan

Batasan adalah satu garisan tidak kelihatan yang memisahkan antara individu atau subsistem daripada persekitaran luar.  Batasan membantu menjelaskan kuasa individu daripada ahli-ahli yang lain di samping membezakan antara satu subsistem dengan yang lain.  Dalam sesebuah sistem seperti sistem keluarga, batasan ini menghad dan memelihara kesepaduan sistem, menentukan siapa yang dianggap sebagai orang dalam dan bukan orang dalam.  Batasan keluarga ini juga berfungsi sebagai pengawal yang mengawal maklumat masuk dan keluar (“Kami tak kira kalau ibubapa kawan awak membenarkan dia untuk ......; kami tetap tak benarkan; apa saja yang awak dengar di rumah merupakan sesuatu yang kami anggap akan rahsiakan dan tidak akan dibincangkan dengan kawan-kawan awak”).
            Di dalam sesebuah keluarga itu sendiri, batasan membezakan antara subsistem-subsistem, membantu menjelaskan subunit yang terpisah daripada sistem keseluruhannya atau terkeluar dari subsistem keseluruhannya serta kualiti proses interaktifnya.  Minuchin (1974) menegaskan bahawa pembahagian yang sebegitu sepatutnya telah mencukupi bagi menjelaskan ahli-ahli subsistem terhadap tugas-tugas yang perlu mereka jalankan tanpa sebarang gangguan, sementara pada masa yang sama juga membenarkan hubungan antara ahli dan subsistem yang lain.  Dengan ini batasan telah membantu menjaga keselamatan pengurusan setiap subsistem di samping mengekalkan hubungan saling bergantungan antara semua ahli dalam subsistem keluarga.

Sistem Terbuka dan Tertutup

Bertalanffy (dlm. Goldenberg & Goldenberg, 2000), menggariskan, satu sistem di mana maklumat terus mengalir keluar dan masuk adalah dinamakan sistem terbuka.  Sementara sistem tertutup pula adalah di mana batasan-batasannya tidak mudah untuk dicampuri.  Fakta utama dalam menentukan sifat sesebuah sistem itu sama ada ianya terbuka atau tertutup adalah bergantung kepada tahap interaksi dan ketelusan maklumat dalaman dan dari persekitarannya.  Sistem terbuka biasanya dapat disesuaikan dengan persekitarannya dengan lebih baik; malah transaksi (pengurusan) sosialnya juga adalah bersifat dua hala.  Ini bermakna mereka juga memulakan/mengadakan aktiviti yang membenarkan pertukaran maklumat dengan masyarakat kerana batasan ini adalah luas.  Sistem tertutup pula mempunyai batasan-batasan yang sukar untuk menerima (menyerap).  Oleh itu mereka gagal untuk berinteraksi dengan persekitaran luar, kurangnya mekanisma maklumbalas yang membina, menjadi terasing dan menolak perubahan.  Contoh bagi sistem tertutup ini adalah ketaksuban terhadap agama yang mana telah menutup mereka dari dunia luar dengan harapan untuk mengawal tingkahlaku penganut-penganutnya.  Begitu juga dengan negara-negara totalitarian yang tidak membenarkan suratkhabar-suratkhabar, radio dan televisyen asing maupun layaran kepada rangkaian internet atau laman web dunia juga mewakili sistem tertutup yang bertujuan untuk mengawal tingkahlaku rakyatnya.

Model Circumplex


Model ini telah diperkenalkan oleh Olson, Russell dan Sprengkle pada tahun 1979. Model ini menyediakan satu sistem pengklasifikasian keluarga kepada keluarga sihat (healthy family) dan keluarga tidak berfungsi (disfunctional family).  Model ini mengandungi tiga dimensi yang saling berkaitan iaitu kejelekitan (cohesion), kebolehsuaian (adaptability) dan komunikasi.  Olson, Russell dan Sprengkle (1979), berpendapat ketiga-tiga elemen ini penting untuk menilai pola interaksi dalam sesebuah keluarga.  Oleh itu, menerusi model ini sesebuah keluarga telah dikategorikan kepada tiga iaitu ‘Balanced’, ‘Mid-Range’ dan ‘Extreme’.

Kohesi Keluarga


Kohesi keluarga merujuk kepada ikatan perasaan dan emosi di antara ahli-ahli keluarga seperti kata Olson, Russell dan Sprengkle (1984) ‘family cohesion is defined as the bonding that family members have toward one another’.  Menurut Fernell dan Weinhold (1989), kohesi atau kejelekitan merujuk kepada darjah penyertaan dalam keluarga dan jumlah autonomi yang dapat diberikan oleh seseorang individu kepada setiap ahli keluarganya.  Beberapa konsep yang digunakan dalam menghuraikan dimensi kohesi keluarga ialah hubungan emosi, sempadan, gabungan, ruang masa, rakan, pembuatan keputusan, minat dan rekreasi.
            Di dalam dimensi kohesi keluarga ini juga terdapat 4 darjah iaitu daripada darjah yang terendah terlerai (disengaged) kepada terpisah (separated), rendah hingga sederhana kepada terhubung (connected) iaitu sederhana tinggi dan terserap (enmeshed) iaitu amat tinggi.  Melalui model ini bahawa tahap pertengahan kohesi (terpisah dan terhubung) akan membentuk keluarga berfungsi secara optimum, manakala keadaan yang ekstrim (terlerai atau terserap) secara umumnya dilihat sebagai situasi yang bermasalah.
            Dalam keadaan ‘berkeseimbangan’ (berpisah dan berhubung), individu akan dapat mengimbangi kedua-dua keadaan ekstrim ini dan boleh secara serentak bebas daripada dan juga berhubungan dengan keluarga.  Apabila darjah kohesi adalah tinggi, maka keperluan untuk persetujuan sebulat suara dalam sesuatu pembuatan keputusan adalah tinggi dan ruang kebebasan adalah terhad.  Di tahap ekstrim (terlerai), ahli keluarga akan membuat hal masing-masing dengan keadaan hubungan dan komitmen yang terhad kepada keluarga mereka sahaja.
            Menurut Model Circumplex juga, pada kontinuum atas dimensi kohesi, ahli-ahli keluarga mengalami kerapatan dari segi emosi, fizikal dan intelektual.  Oleh itu ahli-ahli keluarga akan berkomunikasi secara terbuka antara satu sama lain dan dengan itu, setiap ahli keluarga mengalami kepuasan berinteraksi dalam keluarga.  Apabila ahli-ahli keluarga merasai kerapatan emosi yang tinggi, maka perluahan diri dan pengiktirafan individu dalam sesebuah keluarga akan berlaku dengan baik.  Di sini individu berupaya untuk memberi pendapat dan pandangan mengenai sesuatu isu dan seterusnya pendapat tersebut akan diiktiraf dan diterima oleh ahli-ahli keluarga yang lain.
            Menurut Barnes dan Olson (1985), komunikasi merupakan salah satu mekanisma bagi sesebuah keluarga mencapai kepuasan dalam berkongsi perubahan dari segi keperluan, perasaan dan perkara-perkara yang menjadi keutamaan dalam keluarga.  Dalam model ini, komunikasi dianggap sebagai satu dimensi yang penting dan komponen yang dinamik kerana ia mengambil kira perkara-perkara yang kritikal untuk membantu pergerakan keluarga ke arah mencapai dua dimensi lain iaitu kohesi dan kebolehsuaian.  Kekurangan komunikasi dipercayai akan menjadi penghalang sistem keluarga untuk bertukar tahap kohesi dan kebolehsuaian.
            Sistem keluarga dari jenis yang ‘terpisah’ (seperated) dan ‘terhubung’ (connected) lebih cenderung untuk lebih berfungsi.  Sesebuah keluarga yang mempunyai corak hubungan yang terpisah akan merasai perasaan yang bersifat ‘keterpisahan’ walaupun tidak seburuk corak hubungan yang ‘terlerai’ (disengaged).  Manakala hubungan yang bersifat ‘terhubung’ (connected) ia akan mengalami perasaan emosi yang lebih rapat dan patuh kepada hubungan ini.  Bagi mereka masa bersama adalah lebih penting daripada masa bersendirian.
            Keluarga dalam keadaan ketidakseimbangan darjah kohesinya dikategorikan dalam kumpulan ekstrim (amat rendah atau amat tinggi).  Hubungan yang bersifat ‘terlerai’ kebiasaannya mengalami emosi yang terpisah.  Keadaan ini berlaku kerana terlalu sedikit keterlibatan dalam sesuatu hubungan di kalangan ahli keluarga.  Individu dalam keluarga sering bersendirian dan ahli juga tidak dapat mengharapkan sokongan dalam cubaan untuk menyelesaikan masalah antara satu sama lain.

Kebolehsuaian Keluarga


Kebolehsuaian keluarga adalah merujuk kepada sejauhmana dalam sistem keluarga ahli-keluarga dapat menyesuaikan diri antara satu sama lain.  Dalam dimensi ini, terdapat 4 kategori darjah kebolehsuaian iaitu ‘tegar’ (rigid), berstruktur, fleksibel dan huru-hara (chaotic).  Darjah kebolehsuaian yang dikategorikan sebagai berstruktur dan fleksibel lebih kondusif kepada kefungsian keluarga manakala kebolehsuaian keluarga yang berada dalam kategori tegar dan huru-hara disifatkan sebagai tahap yang berada dalam keadaan bermasalah kepada putaran kehidupan berkeluarga.
            Secara umumnya kebolehsuaian keluarga lebih memfokus kepada perubahan-perubahan keluarga dalam aspek kepimpinan, peranan dan peraturan dalam sesebuah keluarga.  Sesebuah sistem keluarga ia memerlukan kepada kestabilan, namun kemampuan keluarga dalam menyesuaikan peranannya adalah perlu bagi sesebuah keluarga itu dapat berfungsi dengan baik.
            Keluarga yang dikategorikan sebagai ‘balanced’ dianggap lebih mudah untuk bertukar tahap kohesi dan kesesuaian dalam keluarga bagi memenuhi keperluan, keutaman dan perasaan ahli-ahli dalam sesebuah keluarga.  Bagi keluarga yang dikategorikan sebagai ‘mid-range’, tahap kohesi dan kesesuaiannya adalah sederhana.  Manakala bagi keluarga yang dikategorikan sebagai ‘extreme’ atau tegar, ia memperlihatkan tahap yang paling rendah atau tinggi pada kedua-dua dimensi.  Jenis keluarga ini lebih terhad tahap keupayaan organisasi dalam keluarga untuk mengendalikan cabaran-cabaran dalam kehidupan berkeluarga.  Menurut Barnes dan Olson (1985), komunikasi dalam sesebuah keluarga penting kerana ia mempengaruhi pembentukan identiti dan kesesuaian pengambilan peranan seseorang remaja itu.
            Sistem keluarga dari jenis yang berstruktur dan fleksibel adalah lebih berfungsi untuk tempoh jangka masa yang panjang di mana hubungan keluarga dalam bentuk berstruktur kebiasaannya mempunyai kepimpinan keluarga yang bersifat lebih demokratik.  Bagi keluarga yang berhubungan secara fleksibel ia mempunyai kepimpinan keluarga yang mementingkan unsur-unsur keseimbangan dengan pendekatan demokratik dalam menentukan sesuatu keputusan di mana unsur-unsur perundingan dan perbincangan secara lebih terbuka yang melibatkan ahli-ahli keluarga.
            Kebolehsuaian keluarga yang ‘extreme’ atau tegar lebih cenderung untuk mengalami keadaan yang tidak stabil.  Hubungan yang terdapat di dalamnya adalah bersifat kaku dan berbentuk sehaja sahaja.  Bentuk-bentuk perundingan dalam menentukan sebarang keputusan adalah sangat terhad di mana kepimpinan biasanya menetapkan sesuatu keputusan.  Bagi aspek peranan dan peraturan adalah bersifat rigid dan tetap tanpa boleh diubah-ubah.

Proses Terapi Keluarga


Sebagaimana di dalam kaunseling dan terapi-terapi yang lain misalnya, kaunseling/ terapi individu dan kaunseling/ terapi kelompok, kaunseling/ terapi keluarga juga mempunyai proses dan tatacara tersendiri.  Secara amnya ia adalah seperti berikut :

i)    Tugas/Perancangan Pra-Sesi

Interaksi pertama sangatlah penting di dalam terapi keluarga.  Oleh itu, kontak atau percakapan pertama sama ada melalui telefon atau pun bersemuka perlulah mempunyai unsur-unsur untuk menarik, memberi keyakinan, harapan dan kegembiraan kepada klien.  Ini adalah keranan klien menghubungi kaunselor atau terapis bermakna mereka mempunyai masalah.  Kejayaan di peringkat ini adalah penentuan kejayaan sesi seterusnya.
      Pada peringkat ini juga kaunselor perlu merancang untuk membuat penilaian awal mengenai keluarga ini.  Penilaian dan hipotesis adalah perlu berdasarkan dinamika keluarga, pusingan atau kitaran hayat keluarga, etnik, kaum, agama, adat dan budaya keluarga itu.  Ahli terapi itu juga perlu membuat diagnostik peringkat awal dan perancangan penyelesaian.

ii)    Sesi Pertama

Perhubungan bersemuka pertama dengan ahli-ahli keluarga perlulah mempunyai ciri-ciri :

-          tentukan struktur yang hendak diikuti – Kaunselor perlulah menentukan struktur sama seperti di dalam proses kaunseling individu.  Ini termasuklah menetapkan jangka masa bagi setiap sesi, bentuk hubungan di antara kaunselor dengan klien, penentuan bayaran kalau ada dan lain-lain lagi.

-          Jalinkan kemesraan – Kaunselor perlulah mengujudkan suasana keselesaan dan harmonis bagi menarik dan melembutkan hati semua ahli keluarga yang hadir supaya mereka tidak bosan atau teragak-agak hendak menghadiri sesi terapi selanjutnya.

-          Pulihkan hubungan di kalangan ahli keluarga – Kaunselor juga perlu memulihkan hubungan di antara ahli keluarga yang renggang untuk membolehkan mereka bekerjasama di antara satu sama lain.  Sikap konfrantasi, memperlekeh atau memandang rendah ahli-ahli yang lain akan menghalang proses kaunseling seterusnya.


-          Perhatikan bentuk hubungan kekeluargaan – Kaunselor perlu memerhatikan bentuk dan pola-pola hubungan kekeluragaan di dalam keluarga itu.  Misalnya siapakah yang mendominasi tingkahlaku dan pergerakan ahli keluarga.   Siapakah yang mempunyai kuasa veto di dalam membuat keputusan.  Bagaimanakah kedudukan tempat di antara ahli semasa sesi tersebut.  Siapa yang berjauhan dengan siapa, siapa yang berbisik-bisik dengan siapa dan lain-lain lagi.

-          Mengatasi halangan – Kaunselor juga mesti berupaya menjangka dan mengatasi halangan-halangan yang timbul dari ahli keluarga semasa sesi kaunseling itu.  Misalnya ada di antara mereka memonopoli dialog serta cuba menguasai sesi tersebut, ada pula di antara mereka yang akan cuba merendah-rendah cakap orang lain.  Terdapat juga ahli yang diam dan tidak ingin bercakap, hanya mengangguk sahaja dan berbagai-bagai lagi kerenah mereka.  Terdapat juga ahli yang menentang kerana tidak suka kepada perubahan yang berlaku.  Cadangan untuk berubah adalah sukar bagi sesetengah orang.  Ada juga orang yang tidak boleh ‘give and take’, tetapi merka mesti berkorban dan bersedia untuk berubah.  Tanpa pengorbanan, maka tidak akan ada pembaikan.

-          Berikan harapan – terdapat ahli keluarga yang tidak yakin kepada proses kaunseling dan putus harap.  Mungkin kerana masalah mereka amat sulit dan berliku-berliku.  Oleh itu kaunselor mestilah berupaya untuk memberikan harapan dan semangat kepada kliennya.
           
            Sebagai rumusan sesi pertama ini sangat penting kerana ia menentukan kejayaan, sesi-sesi berikutnya.  Ia membentuk hubungan, kemesraan, kepercayaan dan harapan untuk menyelesaikan masalah.  Ia juga menentukan pembentukan struktur, pengenalan masalah, diagnosis dan cadangan penyelesaian.

iii)   Sesi-sesi Pertengahan

Bagi sesi-sesi kaunseling berikutnya, sama seperti kaunseling atau terapi lain, kaunselor perlulah meneroka, merangsang, mendorong setiap ahli bercakap dan meluahkan pandangangan mereka tentang keluarga itu.  Kalau perlu berikan beberapa ‘assignment’ tertentu kepada mereka.  Aktivit-aktiviti perlu di dalam sesi ini antaranya ialah ;

-          Hubungkan keluarga dengan agensi luar – Kalau perlu hubungkan keluarga itu dengan agensi luar.  Misalnya mereka mempunyai masalah guaman, hubungkan mereka dengan Biro Bantuan Guaman.  Atau pun mereka mempunyai masalah tuntutan nafkah, hubungkan mereka dengan Jabatan Agama atau lain-lain jabatan berkaitan.

-          Hubungkan kelaurga dengan ahli keluarga luas – Ahli keluarga luas seperti datuk, nenek, ibu/bapa saudara, pak cik makcik dan lain-lain perlu dihubungkan andainya perlu.  Mereka mungkin mempunyai pengaruh, disegani dan dapat membantu menyelesaikan masalah.
           
            Sesi ini boleh disimpulkan sebagai peringkat yang menentukan kejayaan proses terapi/ kaunseling/  Di peringkat inilah sebahagian besar aktiviti penting terapi keluarga dilaksanakan.  Kaunselor akan memberi penumpuan kepada mencari penyebab dan punca masalah dan selepas itu memberi penumpuan kepada mencari penyelesaian.  Beliau akan mencadangkan cara dan teknik alternatif atau pilihan yang ada, assignment serta latihan yang hendak diikuti dan berbagai-bagai lagi.  Kemungkinan juga disini dicadangkan supaya ahli keluarga mengikuti latihan-latihan keibubapaan, kemahiran, komunikasi dalam keluarga dan lain-lain.

iv)   Sesi Penamatan

Biasanya terdapat beberapa langkah di dalam sesi penamatan, antaranya ialah:

-      Menyatakan Niat/ Tujuan Penamatan – Pernyataan niat ini adalah perlu untuk mengelakkan pergantungan klien yang berterusan kepada kaunselor. Kaunselor atau terapis menyatakan niatnya kepada ahli-ahli keluarga untuk menamatkan sesi kaunseling apabila telah mencapai objektifnya.  Pernyataan niatnya ini boleh disampaikan di dalam berbagai-bagai cara sama ada secara langsung atau secara tidak langsung.  Contohnya : Kaunselor menyatakan “nampaknya kita telah sampai ke penghujung jalan, matlamat telah pun dicapai dan sesi ini akan berakhir ….”.

-      Membuat Rumusan – Apabila keluarga tersebut telah maklum dengan niat dan tujuan kaunselor, maka rumusan hendaklah dibuat bagi keseluruhan sesi kaunseling yang telah dilalui itu, bagaimana ia bermula dan bagaimana ia berakhir dan bagaimana untuk mengelakkannya dari berlaku di masa akan datang.

-      Membincangkan Rancangan Masa Hadapan – Kaunselor atau terapis perlu membincangkan dengan keluarga mengenai pelan jangka panjang bagaimana untuk membuat persediaan menghadapi kehidupan di zaman hadapan tanpa bantuan kaunselor.

-      Program Susulan (Follow-up) – Di samping rancangan masa hadapan kaunselor atau terapis perlu membuat “Follow-Up” mengenai semua rancangan yang di atur.  Sayugia difahami di sini terapi keluarga ialah suatu aktiviti yang berterusan.  Seorang kaunselor tidak akan putus hubungan dengan klien/ keluarga secara total.  Keluarga akan kembali kepada kaunselor bila-masa perlu.  Kaunselor pula perlu melayan kehendak kliennya apabila dia kembali kepadanya.  Kaunselor perlu bertanya khabar kepada kliennya dari masa ke semasa untuk mengetahui mengenai perkembangan, kemajuan dan kejayaan.  Ataupun halangan-halangan baru yang timbul sepelas proses terapi berakhir.

-      Ucapan Perpisahan – Kaunselor dan klien patut membuat ucapan perpisahan secara rasmi jika perlu.  Misalnya pergi ke kantin dan minum bersama- berdoa untuk kesejahteraan keluarga tersebut dan lain-lain perkara yang difikirkan patut.

Sebagai rumusan sesi ini ialah kejayaan dan perpisahan serta kehilangan kebergantungan klien kepada kaunselor.  Ia memberi panduan kepada klien untuk terus maju tanpa pertolongan dari kaunselor.  Ia juga memberi motivasi untuk mencari pendidikan bagi memajukan keluarga seterusnya di masa-masa akan datang.
 (Ini pendekatan yang saya gunakan semasa melakukan bengkel interaktif di JKM. Rujukan oleh buku bengkel interaktif yang dikeluarkan oleh JKM, Bahagian Kaunseling & Psikologi)

LEMBARAN KAUNSELING KELUARGA 

Lembaran ini saya reka khas untuk kegunaan dan memudahkan proses perjalanan sesi-sesi keluarga yang saya urusakan.








harapan perkongsian ini memberi manfaat....selamat beramal...



7 comments:

Yaya Mohd said...

salam..
wah penjelasan yang begitu pnjng..huhu
apepun nice effort. =)
SELAMAT HARI RAYA =)

ZUHANIF said...

wsalam...selamat hari raya kembali...ye memang panjang sebab ini penjelasan tentang teori dan struktur untuk pengamal kaunseling keluarga juga rujukan untuk yg sedang belajar dalam jurusan kaunseling. Jadi tak boleh bagi separuh-separuh nanti jadi ilmu hitam bila di amalkan heheheh :)

siti hazreen said...

arai, aku baru ulangkaji bab kaunseling keluarga dalam program bersama kaunselor KPM...aku ada tulis dalam blog, boleh lah ko singgah baca.

p/s: arai, bila nak jumpa ko? windu beb ;)

ZUHANIF said...

Rin...tu la bila blh jumpa rindu ko juga :)

siti hazreen said...

Arai...aku ade buat giveaway kat blog, nanti singgah ye...hadiah lumayan bangat hehe

zakiah said...

Assalamualaikum, boleh saya rujukan penuh artikel ni?

zuraidah said...

Waalaikumsalam cik Zakiah ya boleh silakan klu cik perlukan apa2 maklumat lagi boleh email saya di zuraidah_zuhanif@yahoo.com moga memberi manfaat dalam penyebaran ilmu..