Keluarga
Hubungan – hubungan
kekeluargaan pada asasnya memainkan peranan penting di dalam pemeliharaan dan
sosialisasi anak-anak, menentukan taraf serta kedudukan kelas sosial seseorang
individu. Ianya merupakan kelompok asas
di mana ahli-ahlinya mempunyai hubungan emosional yang rapat. Keluarga dianggap sebagai institusi yang
terawal dan terulung.
Keluarga adalah suatu institusi yang sejagat terdiri
daripada individu-individu yang mempunyai pertalian darah yang mempunyai
bentuk-bentuk hubungan yang tertentu di dalam menyelenggarakan aktiviti
rumahtangga. Namun begitu
bentuk-bentuknya berbeza berdasarkan kebudayaan serta pola perhubungan antara
ahli-ahlinya. Keluarga juga dianggap
sebagai sebuah institusi masyarakat yang berkekalan sepanjang zaman dan
merupakan penyumbang utama kepada pembangunan negara melalui kelahiran generasi
warisan negara. (Raj Abdul Karim, 1996).
Keluarga yang berkualiti pada zahirnya mampu untuk
membentuk generasi yang berdikari, berdaya tahan, berilmu, bersifat saingan,
berkemahiran dan produktif. Peranan
keluarga adalah amat penting ke arah melahirkan sumber tenaga manusia untuk
pembangunan sesebuah negara. Pembangunan
keluarga dan manusia tidak dapat berlaku dengan sempurna tanpa perancangan dan
sokongan semua sektor masyarakat.
Friedman (1981) menyatakan bahawa keluarga adalah suatu
sistem yang sentiasa berubah dan berkembang.
Worsley et al. (1977) pula menyatakan bahawa keluarga adalah suatu
institusi yang mempunyai perhubungan tertentu berasaskan kepada perkahwinan dan
“parenthood” di mana ahli-ahli utamanya sering tinggal bersama. Menurut G.P. Murdock pula keluarga merupakan
sebuah institusi di mana ahli-ahlinya mempunyai tempat tinggal yang sama serta
saling bekerjasama untuk menyara hidup mereka.
Ahli-ahlinya terdiri daripada orang-orang dewasa lelaki dan perempuan
dan sekurang-kurangnya dua dari mereka itu mempunyai pertalian serta
perhubungan seks yang sah. Ianya juga
terdiri daripada anak-anak kandung ataupun anak-anak angkat yang dibela orang-orang
dewasa berkenaan iaitu ibubapa (Gerson R., 1995).
Kaunseling
Keluarga
Terapi keluarga merupakan satu
bentuk di dalam psikoterapi yang akan melibatkan ahli keluarga di dalam
keluarga asas (nuclear) mahupun keluarga besar (extended). Biasanya terapi yang dijalankan melibatkan
seorang ataupun sekumpulan ahli terapi yang terlatih. Pergerakan terapi kekeluargaan berkembang
hasil usaha sekumpulan pekerja sosial serta ahli psikiatri. Namun begitu Nathan W. Ackerman telah
dikenalpasti sebagai pengasas kepada terapi keluarga. Beliau menerima latihan sebagai seorang
psikoanalisis serta merupakan seorang ahli psikiatri kanak-kanak namun begitu
beliau amat terpengaruh dengan psikologi sosial yang percaya bahawa konflik
yang dihadapi oleh setiap individu akan dipengaruhi oleh pelbagai faktor
terutama faktor persekitaran dan biological (Hanse & L’Abate, 1982).
Setiap ahli terapi keluarga akan memerlukan model
tertentu untuk diaplikasikan terhadap keluarga yang memerlukan bantuan
mereka. Setiap model yang dipilih dan
digunakan ini akan berfungsi untuk membantu ahli terapi keluaga untuk
mengenalpasti, menilai serta memahami permasalahan yang ditimbulkan oleh
kliennya. Setiap kerangka teoritikal
akan memandu terapis untuk memahami bagaimana, bila serta tahap mana sesesuatu
intervensi itu perlu dilaksanakan.
Terapi keluarga pada asasnya adalah berdasarkan prinsip
“behavioral” (tingkahlaku) dan prinsip psikodinamik. Namun begitu bentuknya telah diperluaskan dan
tertumpu kepada sistem keluarga.
Glading (1998) menyatakan bahawa terapi keluarga
bertujuan untuk merawat individu di dalam konteks keluarga dan ahli-ahli
keluarga sebagai sumber dan tenaga sokongan yang maksimum. Virginia Satir (1975) pula mendefinisikan
bahawa terapi keluarga merupakan satu kaedah rawatan yang merangkumi
keseluruhan ahli keluarga yang tinggal bersama.
Teori
Sistem Keluarga
Goldenberg dan Goldenberg
(2000) telah mengemukakan beberapa konsep asas teori sistem-sistem umum (general systems theory) seperti
diutarakan oleh ahli biologi Ludwig Von Bertalanffy pada lewat 1920an. Teori ini kemudiannya dikembangkan selepas
beberapa dekad dan menghuraikan model-model yang sesuai dalam semua sistem
kehidupan dengan memberi tumpuan kepada pola-pola perhubungan di dalam
sistem-sistem dan di antara sistem dengan sistem yang lain. Model yang dikemukakan oleh Bertalanffy ini
kemudiannya telah diaplikasikan di dalam bidang sains, sains sosial, perubatan
dan falsafah. Ahli terapi keluarga
mencari sesuatu model yang bersifat saintifik kerana didapati model seumpama
itu boleh mencetuskan pertukaran pendapat di antara ahli keluarga secara
khususnya melalui sifat-sifat dan ciri-ciri yang ada pada setiap ahli
keluarga. Konsep-konsep di dalam sistem
ini menurut pengarang, menjadi bahasa yang berguna dalam melihat interaksi
proses-proses yang berlaku di dalam keluarga.
Kebanyakan ahli-ahli terapi keluarga menggunakan teori
sistem umum ini terutamanya konsep homeostasis (untuk
menghuraikan keluarga sebagai mencari keseimbangan di antara kestabilan dan
perubahan) dan sistem terbuka (open
system) untuk menerangkan bagaimana keluarga dapat bertahan melalui
pertukaran maklumat dengan persekitarannya.
Pada masa yang sama menerima konsep-konsep terkini (cybernatic concepts) sebagai suatu kitaran yang membantu mengetahui
dan mengenalpasti perhubungan di antara ahli-ahli keluarga untuk mendapatkan
maklumbalas membetulkan diri (self-corrective
feed back loops) bagi membantu sistem keluarga mengekalkan dan
memperkukuhkan keluarga berkenaan.
Teori sistem (system
theory) muncul sebagai satu konsep keseluruhan merangkumi satu teori umum
dan terkini yang memberi tumpuan kepada hubungan di antara elemen-elemen
khususnya elemen-elemen di dalam keluarga.
Teori sistem ini telah menyediakan suatu asas untuk intervensi kefahaman
teraputik bagi mengkaji keluarga, termasuklah secara individu, pasangan,
keluarga asas, keluarga asal, sistem perubatan dan dalam konteks yang lebih
luas lagi (seperti sekolah dan tempat kerja) serta di dalam konteks budaya dan
etnik. Pada masa-masa tertentu teori
sistem ini telah memberi terapis suatu paradigma di mana mereka dapat melihat
pelbagai sebab dan konteks tingkahlaku dalam menjelaskan tentang aspek
kekeluargaan.
Ciri-ciri
Sistem Keluarga
Konsep ‘organization’ dan ‘wholeness’ adalah
kunci untuk memahami bagaimana sistem keluarga beroperasi. Jika sistem ini menyediakan satu set unit
yang berhubungan secara konsisten antara satu sama lain, maka kita boleh
merumuskan bahawa sistem wujud menerusi perhubungan di antara elemen-elemen
yang berinteraksi antara satu dengan lain mengikut gaya yang telah disusun dan dijangkakan. Ringkasnya, diandaikan bahawa kombinasi
elemen-elemen ini akan menghasilkan satu entiti secara keseluruhannya.
Sistem keluarga di mana setiap ahli disusun dalam satu
kumpulan, membentuk keseluruhan (wholeness). Memahami hubungan dinamik di antara komponen
(ahli keluarga) adalah jauh lebih jelas daripada hanya mengetahui tentang
komponen-komponen yang terkandung di dalamnya (Ackerman, 1984). Perhubungan di antara ahli kelaurga adalah
kompleks; dan dalam kumpulan yang kecil, perikatan, pergabungan dan
tekanan-tekanan akan timbul di mana lazimnya sebab musababnya adalah bersifat
putaran dan pelbagai arah (circular and
multidirectional).
Menurut Nichol dan Everett (1986), cara penyusunan
sesebuah keluarga menjelaskan struktur asasnya iaitu kesepaduan/kejelekitan dan
kesesuaian keluarga sepertimana yang dikatakan oleh pengarang juga, boleh
disusun secara rigid, diketuai secara
dominan oleh lelaki, isteri yang sentiasa taat dan anak-anak yang memberontak
atau tidak puas hati; atau mungkin anak-anak yang menurut dan isteri yang baran
dan pelawan. Atau sebaliknya, keluarga matriarch di mana isteri lebih dominan
berbanding suaminya yang pasif dan anak-anak yang terperangkap dalam dilema ibu
dan ayah mereka. Walau apapun organisasi
keluarga tetap memberikan petunjuk tentang bentuk interaksi di dalam keluarga
tersebut.
Menurut tinjauan Leslie (1988), pergerakan sesuatu
komponen mempengaruhi keseluruhan sistem di mana beliau menerangkannya sebagai
pergerakan sebahagian daripada sistem keluarga.
Dengan memfokuskan kepada fungsi satu elemen (ahli) keluarga sahaja
adalah tidak mencukupi untuk memahami hubungan di antara ahli keluarga dan
keseluruhan sistem yang disusun atur.
Contohnya, keluarga yang mempunyai dua orang anak bukan sahaja menambah
bilangan ahli keluarganya bila bayi baru dilahirkan. Kini keluarga tersebut menjadi satu entiti
yang baru dengan berlakunya beberapa perubahan pola-pola interaksi dalam
keluarga tersebut. Kanak-kanak dalam
keluarga berkenaan mungkin merasa cemburu dan tidak lagi dipedulikan oleh
ibunya kerana pada ketika ini perhatian lebih ditumpukan kepada adiknya atau
bayi yang baru dilahirkan. Dalam
perspektif ini, sistem tadi melihat bagaimana keluarga akan mengatur semula
fungsi-fungsinya supaya lebih difahami, diterima dan disesuaikan dengan
ahli-ahlinya. Misalnya, si ibu
menumpukan sepenuh perhatian kepada anak kecil dan si bapa pula lebih
bertanggungjawab kepada anak-anak yang lain.
Manakala anak yang sulung dididik supaya boleh membantu ibunya yang
sedang menjaga adik kecilnya.
Peraturan-Peraturan
Dalam Keluarga
Menurut Goldenberg dan
Goldenberg (2000), keluarga adalah satu sistem pengurusan peraturan yang cybernatic. Interaksi setiap ahli keluarga secara tipikal
mengikut susunan pola-pola yang telah ditetapkan adalah berdasarkan kepada
struktur keluarga. Pola-pola ini
membantu setiap ahlinya mempelajari dan memahami apa yang dibenarkan atau
dijangkakan dalam urusan keluarga berkenaan.
Peraturan-peraturan ini bersifat teratur dan berperanan menstabilkan
setiap fungsi di dalam keluarga sebagai satu unit walaupun biasanya ianya tidak
tertulis di mana-mana. Bentuk keluarga
secara asasnya berkembang secara tradisi dan ditentukan oleh jangkaan-jangkaan setiap
kalangan ahli keluarga.
Peraturan-peraturan keluarga ini menjadi satu nilai yang membantu
membentuk peranan di dalam keluarga secara konsisten melalui proses-proses
tertentu yang saling bergantungan di antara satu sama lain di dalam satu
sistem. Peraturan-peraturan ini biasanya
diturunkan dari satu generasi kegenerasi seterusnya di mana ia juga dipengaruhi
oleh unsur-unsur budaya yang kuat.
Peraturan-peraturan di dalam keluarga akan menentukan
pola-pola tingkahlaku manusia. Seperti
yang dikemukakan oleh Jackson
(1965) dan ahli-ahli terapi keluarga yang awal, peranan merupakan suatu prinsip
pengurusan kehidupan keluarga yang menyediakan garis panduan bagi pola-pola
interaksi pada masa hadapan. Jackson juga mengemukakan
konsep ‘marital quid pro quo’ untuk menghuraikan hubungan perkahwinan
yang baik di mana wujudnya peraturan yang bersifat memberi dan menerima di
antara pasangan.
Komunikasi di dalam keluarga menurut Jackson (1965), memberi kelebihan kepada ahli
keluarga berinteraksi dan bertingkahlaku serta lebih memahami peranan
masing-masing secara terbuka. Komunikasi
yang baik di dalam keluarga juga amat berguna bagi mengenalpasti hubungan yang
bersifat dalaman seperti keperluan-keperluan individu ahli keluarga, dorongan,
tret personaliti dan menentukan ciri-ciri interaksi di antara ahli keluarga.
Peraturan-peraturan keluarga yang bertujuan bagi membina
dan mengekalkan hubungan kekeluargaan boleh menjadi sesuatu yang diskriptif
(sesuatu yang bersifat metafora), atau preskriptif (berbentuk arahan-arahan
boleh atau tidak). Peraturan yang
bersifat diskriptif selalunya berdasarkan kepada hak-hak keistimewaan dan
kewajipan individu yang ditentukan oleh faktor umur, jantina atau general. Sebahagian daripada peraturan ini boleh
dirundingkan, namun bagi keluarga yang bersifat rigid mungkin terlalu banyak peraturan-peraturan dikenakan kepada
ahli-ahlinya berbanding dengan keluarga bermasalah yang biasanya mempunyai
terlalu sedikit pula peraturan-peraturan keluarga. Apapun bentuk struktur keluarga, setiap
ahlinya akan mempelajari dan memahami peraturan–peraturan yang bersifat
metafora (meta rules) yang dikenakan
secara lateral.
Peraturan yang bersifat preskriptif pula berbentuk
arahan-arahan boleh atau tidak.
Misalnya, kanak-kanak tidak boleh mencelah percakapan ibubapa, pakaian
itu mestilah disangkut, menentukan waktu tidur anak dan sebagainya. Kebanyakan peraturan keluarga adalah bersifat
tersembunyi dan tidak bertulis. Setiap
ahli keluarga terutamanya kanak-kanak belajar memahami dan mengekalkannya menerusi
pola-pola perhubungan dan pemerhatian yang dilakukan. Contohnya, anak-anak akan meminta duit dari
ibunya selepas makan malam bila ibunya berada dalam mood yang baik. Lebih suka
menunjukkan buku laporan kepada ibu kerana bapa seorang yang garang.
Ibubapa bertindak mengikut peraturan-peraturan
tersembunyi mereka sendiri. Misalnya
anak perempuan membantu membuat kerja-kerja di dapur, anak lelaki diberi lebih
kebebasan berbanding dengan anak perempuan.
Kita juga lebih percayakan anak perempuan memegang wang berbanding anak
lelaki. Kadang-kadang
peraturan-peraturan keluarga ini tidak dinyatakan tetapi boleh difahami oleh
semua orang. Keputusan yang dibuat oleh
ibubapa diturunkan kepada anak-anak dan mereka akan mempelajari dan
memahaminya. Dalam hal yang lain ahli
keluarga mungkin belajar mempunyai pendapat sendiri tentang peraturan-peraturan
keluarga secara bebas. Sesebuah keluarga
yang berfungsi dengan baik, peraturan-peraturan akan membantu mengekalkan kestabilan
dan pada masa yang sama membenarkan perubahan-perubahan berlaku di dalam
keluarga. Oleh itu, bagi sesebuah
keluarga, peraturan yang ada perlulah konsisten dan disampaikan dengan jelas
kepada semua ahlinya (komunikasi yang jelas).
Homeostasis
Keluarga
Kajian fisiologi oleh Walter
Cannon (1932) pertama kali mengemukakan konsep keseimbangan dinamik untuk
menjelaskan keupayaan badan bertindak sebagai suatu sistem kendiri yang teratur
(self regulating system) bagi
mengekalkan keupayaan mengatasi perubahan-perubahan drastik yang berlaku di sekelilingnya. Contohnya, walaupun berlaku perubahan suhu di
luar badan (persekitaran) namun suhu badan tetapi lebih kurang sama iaitu 98.6
F kerana pelbagai mekanisma di dalam badan akan bertindakbalas untuk mengekalkan
kestabilan suhu badan yang disebabkan oleh perubahan suhu luaran tadi. Kecenderungan badan mengekalkan keseimbangan
inilah yang dipanggil homeostasis. Merujuk kepada konsep cybemetic, badan dilihat sebagai suatu sistem biososial dinamik
yang membuat pertukaran maklumat dengan dunia luarnya dengan menggunakan proses
maklumbalasnya untuk mengekalkan kestabilan di dalam badan.
Maklumbalas,
Maklumat dan Kawalan
Maklumbalas sentiasa terjadi
dalam keluarga. Ianya juga mempengaruhi
hubungan antara ahli keluarga.
Maklumbalas dalam keluarga boleh berbentuk perbuatan ataupun kata-kata.
Contoh-contoh maklumbalas dalam
bentuk perbuatan ialah:
§ Isteri
tidak senyum apabila suami balik dari kerja;
§ Suami
tidak mahu makan di rumah;
§ Anak
tidak mahu ke sekolah.
Contoh-contoh maklumbalas dalam
bentuk kata-kata ialah:
§ Pujian
dari isteri;
§ Kritikan
daripada suami;
§ Nasihat
kepada anak.
Dalam erti kata lain, setiap kali kita memberi
maklumbalas sebenarnya kita melakukan dua perkara:
§ Kita
memberitahu orang itu persepsi kita terhadap dirinya; dan
§ Kita
memberitahu orang itu perasaan kita terhadap dirinya, tanpa menggunakan bahasa
yang negatif dan tanpa menghukum dirinya.
Maklumat daripada maklumbalas boleh
jadi bersifat positif atau negatif namun ianya bukanlah satu petunjuk kepada
penilaian yang baik atau buruk.
Kedua-duanya berfungsi untuk membetulkan diri (self-correctiveness mechanisme) bagi tujuan mengekalkan kestabilan
sistem dalam tindakbalasnya terhadap maklumat-maklumat baru dan menetapkan homeostasis untuk menghadapi perubahan.
i.
Maklumbalas
negatif
adalah proses-proses maklumbalas yang menentang penyelewengan atau
penyimpangan, mengekalkan status quo
dan menentang atau menerima perubahan secara minimum. Contoh maklumbalas negatif ialah kritikan,
teguran, nasihat, cemuhan, kutukan dan perlecehan.
ii.
Maklumbalas
positif
pula adalah proses menerima maklumat tentang penyelewengan atau penyimpangan
operasi sistem dan melakukan perubahan ke atas sistem dengan cara mengubahsuai
struktur. Ianya merupakan satu bentuk
ganjaran yang diberi melalui pengiktirafan, pujian, penghargaan dan sanjungan.
Sistem keluarga memerlukan
maklumbalas positif dan negatif sebagai satu cara bertindak untuk mendapatkan maklumat
baru untuk melakukan perubahan atau mengekalkan status quo dalam sistem keluarga.
Kebanyakan orang tidak menggunakan cara-cara yang betul apabila memberi
maklumbalas. Akibatnya maklumbalas itu
tidak berkesan kerana ia tidak menolong orang itu mengubah sikap, tabiat dan
tingkahlakunya. Malah ia mungkin
menimbulkan kesan negatif pula kepada orang itu sendiri dan kepada perhubungan
antara mereka berdua. Contohnya, anak yang
sedang meningkat remaja lebih cenderung menuntut kebebasan dari keluarga dan
bersifat self-direction. Ini boleh mengakibatkan ketidakstabilan
sistem keluarga menerusi unsur paksaan yang dikenakan. Keluarga yang berfungsi biasnaya boleh
mengubah keadaan ini melalui perundingan di mana anak remaja tadi akan
diberikan keistimewaan dan tanggungjawab.
Di sini keluarga akan menerima maklumbalas serta menghargai perubahan
berlaku.
Mekanisma maklumbalas positif
berperanan, di mana keluarga membuat penyesuaian diri terhadap perubahan dengan
pengubahsuai struktur keluarga supaya kestabilan sistem keluarga terhasil. Ia mempunyai pengaruh yang kuat ke atas
motivasi seseorang untuk mengukuhkan lagi sikap, tabiat, tingkahlaku, perbuatan
dan daya usahanya. Perbuatan buruk
sekalipun sekiranya mendapat pujian atau pengiktirafan dari orang lain akan
menggalakkan orang tersebut melakukannya secara berulang. Namun kajian pakar psikologi menunjukkan kita
suka kepada orang yang memberi maklumbalas positif. Maklumbalas positif tidak semestinya datang
daripada orang yang baik. Ramai orang
terpedaya dengan orang-orang yang memberikan maklumbalas positif kepadanya
kerana menyangka orang-orang itu orang yang baik. Sebagai contoh, ramai gadis menjadi mangsa
lelaki jahat kerana termakan dengan kata manis dan pujian daripada mereka.
Sementara itu maklumbalas negatif
pula akan terus beroperasi sehingga sebarang perubahan diperlukan dan keluarga
tersebut telah berjaya menghadapi perubahan dengan efektif dan mengekalkan
kestabilan sistem keluarganya.
Maklumbalas negatif mempunyai kesan negatif ke atas motivasi, sikap
tingkahlaku, perbuatan dan daya usaha seseorang itu. Perbuatan baik, sekiranya mendapat kritikan
tidak akan membuatkan orang itu mengulangi perbuatan baiknya lagi. Namun kajian tetap juga menunjukkan bahawa
kebanyakan orang, tidak suka kepada orang-orang yang memberi maklumbalas
negatif walaupun mereka terdiri daripada orang yang baik. Contohnya kebanyakan remaja tidak suka kepada
golongan agama kerana mereka selalu memberikan maklumbalas negatif terhadap
golongan muda dalam ucapan-ucapan mereka.
Bagi keluarga yang kurang berfungsi
dan mempunyai lebih banyak maklumbalas negatif mungkin akan menghadapi banyak
masalah dalam mengadaptasi perubahan.
Contohnya, ibubapa yang memperlakukan anak remaja mereka seperti
kanak-kanak hanya akan membantutkan kematangan anak mereka. Maklumbalas positf yang diharapkan akan
membantu mereka berubah dan mengubahsuai sistem mungkin tidak akan dapat
berfungsi tanpa bantuan maklumbalas negatif yang akhirnya akan menyebabkan
remaja tersebut menjadi liar dan menentang peraturan-peraturan keluarga. Maklumbalas tidak disorot dari segi niatnya,
tetapi dari segi penilaian yang terkandung di dalamnya. Oleh sebab itu, ramai yang tidak menyangka
bahawa nasihat adalah maklumbalas negatif.
Walaupun nasihat mempunyai niat yang baik tetapi ia mengandungi
penilaian negatif terhadap orang yang dinasihati. Sesuatu maklumbalas itu dikatakan negatif
apabila ia diucapkan dengan menggunakan bahasa negatif seperti:
“Awak
mesti insaf bahawa awak telah melakukan kesalahan dan menyebabkan keluarga awak
mendapat malu”.
“Kenapa awak tak mahu
bertanggungjawab?”
Kesilapan dalam memberi maklumbalas
ini dapat dilihat dengan lebih jelas dalam contoh-contoh di bawah:
i. Salah
niat – di mana sering maklumbalas dibuat kerana niat negatif atau untuk
menyakiti hati orang itu. Kita
sebenarnya ingin memberitahu orang itu bahawa kita lebih baik, pandai, alim dan
lain-lain dengan menyatakan “Awak
mestilah lebih bertanggungjawab” atau “Saya
tahulah awak tu pandai, lulus universiti, pasal tu awak angkuh” dll.
ii. Memaksa
– supaya orang itu menerima maklumbalas yang kita buat seperti “Saya suami, jangan lawan cakap saya”.
iii. Membuat
label – menamakan sesuatu sifat atau perbuatan. Hal ini sangat menyakitkan hati kerana ia
juga mencerminkan penilaian dan hukuman.
Contohnya “Awak bodoh” “Jangan buat kerja sia-sia” dll.
iv. Terlalu
banyak maklumbalas – sering terdapat dalam leteran sehingga orang yang
dileteri tidak dapat menerima semua maklumbalas itu. Contohnya:
“Sikat rambut awak tu” (satu
maklumbalas)
“Awak ni selekeh saja sepanjang
hari. Tak reti sikat rambut, ke? Berserabut, tak terurus. Pakaian awak pun selekeh. Tak ada pakaian lain lagi ke? Asyik pakai kain batik lusuh dengan
T-Shirt. Macam orang gaji saja. Cubalah pakai elok sikit. Muka tu pucat macam bangun tidur, cubalah
sapu bedak sikit walaupun kat rumah”. (lapan maklumbalas).
v. Perkara itu tidak boleh diubah – seperti
paras rupa, warna kulit dll. sehingga
tak ada gunanya kita memberi maklumbalas.
Subsistem
Sesebuah
sistem biasanya telah diaturkan kepada satu set hubungan yang lebih kurang
stabil, berfungsi dalam ciri tertentu dan akan terus berada dalam proses
perkembangan dalam usaha mencari keadaan baru yang lebih kukuh. Subsistem pula adalah bahagian-bahagian dari
keseluruhan sistem yang ditugaskan bagi menjalankan fungsi-fungsi /
proses-proses tertentu dalam sistem keseluruhannya. Setiap sistem adalah sebahagian daripada
suprasistem yang besar dan mengandungi subsistem-subsistem yang lebih kecil di
mana ianya pula menjadi suprasistemnya.
Keluarga biasanya mengandungi
subsistem-subsistem. Hubungan suami dan
isteri membentuk satu subsistem; begitu juga dengan ibu dan anak; bapa dan
anak; dan anak dan anak. Menurut
Minuchin (1974) dalam sesebuah keluarga, subsistem boleh dibentuk melalui
generasi (contohnya ibu dan bapa), atau melalui fungsi (penjaga). Melalui setiap satu subsistem ini, tahap
kuasa yang dimiliki adalah berbeza; kebolehan/kemahiran yang dipelajari adalah
berbeza dan tanggungjawab yang ditentukan juga adalah berbeza. Sebagai contoh, anak yang sulong mungkin
mempunyai kuasa yang lebih dalam sistem adik beradiknya tetapi kuasa itu tidak
pula dapat mengatasi kuasa yang ada pada ibubapanya.
Memandangkan setiap ahli keluarga
adalah ahli kepada beberapa subsistem pada masa yang sama, dia sebenarnya
mempunyai nilai hubungan yang berbeza dengan ahli-ahli dalam subsistem
tertentu. Contohnya seorang wanita boleh
menjadi seorang isteri, ibu, anak perempuan, kakak, adik perempuan, anak buah
perempuan, cucu perempuan dan lain-lain dalam satu masa yang sama. Pada setiap subsistem di mana dia menjadi
ahlinya, dia akan memainkan peranannya yang berbeza dan dijangka akan
melibatkan dirinya dalam hal-hal pengurusan yang berbeza. Contohnya: sewaktu sedang memberikan nasihat
mencari kerja melalui telefon kepada adik perempuannya, Rosni telah diminta
oleh suaminya agar berhenti berbual dan bersegera untuk makan malam. Di sini Rosni perlu menentukan bagaimana
untuk menerangkan kepada suaminya. Sejurus
kemudian Rosni teringat pula bagaimana dia juga tidak ingin rasa dilukai
apabila anak-anak menolak untuk makan makanan yang telah disediakannya. Dia juga telah memberikan respon secara
diplomasi apabila ibunya yang menjadi tetamu makan malam memberinya nasihat
bagaimana untuk memperbaiki susunan meja makannya.
Batasan
Batasan
adalah satu garisan tidak kelihatan yang memisahkan antara individu atau
subsistem daripada persekitaran luar.
Batasan membantu menjelaskan kuasa individu daripada ahli-ahli yang lain
di samping membezakan antara satu subsistem dengan yang lain. Dalam sesebuah sistem seperti sistem
keluarga, batasan ini menghad dan memelihara kesepaduan sistem, menentukan
siapa yang dianggap sebagai orang dalam dan bukan orang dalam. Batasan keluarga ini juga berfungsi sebagai
pengawal yang mengawal maklumat masuk dan keluar (“Kami tak kira kalau ibubapa
kawan awak membenarkan dia untuk ......; kami tetap tak benarkan; apa saja yang
awak dengar di rumah merupakan sesuatu yang kami anggap akan rahsiakan dan tidak
akan dibincangkan dengan kawan-kawan awak”).
Di dalam sesebuah keluarga itu
sendiri, batasan membezakan antara subsistem-subsistem, membantu menjelaskan
subunit yang terpisah daripada sistem keseluruhannya atau terkeluar dari
subsistem keseluruhannya serta kualiti proses interaktifnya. Minuchin (1974) menegaskan bahawa pembahagian
yang sebegitu sepatutnya telah mencukupi bagi menjelaskan ahli-ahli subsistem
terhadap tugas-tugas yang perlu mereka jalankan tanpa sebarang gangguan,
sementara pada masa yang sama juga membenarkan hubungan antara ahli dan
subsistem yang lain. Dengan ini batasan
telah membantu menjaga keselamatan pengurusan setiap subsistem di samping
mengekalkan hubungan saling bergantungan antara semua ahli dalam subsistem
keluarga.
Sistem Terbuka dan Tertutup
Bertalanffy
(dlm. Goldenberg & Goldenberg, 2000), menggariskan, satu sistem di mana
maklumat terus mengalir keluar dan masuk adalah dinamakan sistem terbuka. Sementara sistem tertutup pula adalah di mana
batasan-batasannya tidak mudah untuk dicampuri.
Fakta utama dalam menentukan sifat sesebuah sistem itu sama ada ianya
terbuka atau tertutup adalah bergantung kepada tahap interaksi dan ketelusan
maklumat dalaman dan dari persekitarannya.
Sistem terbuka biasanya dapat disesuaikan dengan persekitarannya dengan
lebih baik; malah transaksi (pengurusan) sosialnya juga adalah bersifat dua
hala. Ini bermakna mereka juga
memulakan/mengadakan aktiviti yang membenarkan pertukaran maklumat dengan
masyarakat kerana batasan ini adalah luas.
Sistem tertutup pula mempunyai batasan-batasan yang sukar untuk menerima
(menyerap). Oleh itu mereka gagal untuk
berinteraksi dengan persekitaran luar, kurangnya mekanisma maklumbalas yang
membina, menjadi terasing dan menolak perubahan. Contoh bagi sistem tertutup ini adalah
ketaksuban terhadap agama yang mana telah menutup mereka dari dunia luar dengan
harapan untuk mengawal tingkahlaku penganut-penganutnya. Begitu juga dengan negara-negara totalitarian
yang tidak membenarkan suratkhabar-suratkhabar, radio dan televisyen asing
maupun layaran kepada rangkaian internet atau laman web dunia juga mewakili
sistem tertutup yang bertujuan untuk mengawal tingkahlaku rakyatnya.
Model
Circumplex
Model ini telah diperkenalkan
oleh Olson, Russell dan Sprengkle pada tahun 1979. Model ini menyediakan satu
sistem pengklasifikasian keluarga kepada keluarga sihat (healthy family) dan keluarga tidak berfungsi (disfunctional family). Model
ini mengandungi tiga dimensi yang saling berkaitan iaitu kejelekitan (cohesion), kebolehsuaian (adaptability) dan komunikasi. Olson, Russell dan Sprengkle (1979),
berpendapat ketiga-tiga elemen ini penting untuk menilai pola interaksi dalam
sesebuah keluarga. Oleh itu, menerusi
model ini sesebuah keluarga telah dikategorikan kepada tiga iaitu ‘Balanced’, ‘Mid-Range’ dan ‘Extreme’.
Kohesi Keluarga
Kohesi keluarga merujuk kepada
ikatan perasaan dan emosi di antara ahli-ahli keluarga seperti kata Olson,
Russell dan Sprengkle (1984) ‘family
cohesion is defined as the bonding that family members have toward one another’. Menurut Fernell dan Weinhold (1989), kohesi
atau kejelekitan merujuk kepada darjah penyertaan dalam keluarga dan jumlah
autonomi yang dapat diberikan oleh seseorang individu kepada setiap ahli
keluarganya. Beberapa konsep yang
digunakan dalam menghuraikan dimensi kohesi keluarga ialah hubungan emosi,
sempadan, gabungan, ruang masa, rakan, pembuatan keputusan, minat dan rekreasi.
Di dalam dimensi kohesi keluarga ini juga terdapat 4
darjah iaitu daripada darjah yang terendah terlerai (disengaged) kepada terpisah (separated),
rendah hingga sederhana kepada terhubung (connected) iaitu sederhana tinggi dan
terserap (enmeshed) iaitu amat
tinggi. Melalui model ini bahawa tahap
pertengahan kohesi (terpisah dan terhubung) akan membentuk keluarga berfungsi
secara optimum, manakala keadaan yang ekstrim (terlerai atau terserap) secara
umumnya dilihat sebagai situasi yang bermasalah.
Dalam keadaan ‘berkeseimbangan’ (berpisah dan berhubung),
individu akan dapat mengimbangi kedua-dua keadaan ekstrim ini dan boleh secara
serentak bebas daripada dan juga berhubungan dengan keluarga. Apabila darjah kohesi adalah tinggi, maka
keperluan untuk persetujuan sebulat suara dalam sesuatu pembuatan keputusan adalah
tinggi dan ruang kebebasan adalah terhad.
Di tahap ekstrim (terlerai), ahli keluarga akan membuat hal
masing-masing dengan keadaan hubungan dan komitmen yang terhad kepada keluarga
mereka sahaja.
Menurut Model Circumplex juga, pada kontinuum atas
dimensi kohesi, ahli-ahli keluarga mengalami kerapatan dari segi emosi, fizikal
dan intelektual. Oleh itu ahli-ahli
keluarga akan berkomunikasi secara terbuka antara satu sama lain dan dengan
itu, setiap ahli keluarga mengalami kepuasan berinteraksi dalam keluarga. Apabila ahli-ahli keluarga merasai kerapatan
emosi yang tinggi, maka perluahan diri dan pengiktirafan individu dalam
sesebuah keluarga akan berlaku dengan baik.
Di sini individu berupaya untuk memberi pendapat dan pandangan mengenai
sesuatu isu dan seterusnya pendapat tersebut akan diiktiraf dan diterima oleh
ahli-ahli keluarga yang lain.
Menurut Barnes dan Olson (1985), komunikasi merupakan
salah satu mekanisma bagi sesebuah keluarga mencapai kepuasan dalam berkongsi
perubahan dari segi keperluan, perasaan dan perkara-perkara yang menjadi
keutamaan dalam keluarga. Dalam model
ini, komunikasi dianggap sebagai satu dimensi yang penting dan komponen yang
dinamik kerana ia mengambil kira perkara-perkara yang kritikal untuk membantu
pergerakan keluarga ke arah mencapai dua dimensi lain iaitu kohesi dan
kebolehsuaian. Kekurangan komunikasi
dipercayai akan menjadi penghalang sistem keluarga untuk bertukar tahap kohesi
dan kebolehsuaian.
Sistem keluarga dari jenis yang ‘terpisah’ (seperated) dan ‘terhubung’ (connected) lebih cenderung untuk lebih
berfungsi. Sesebuah keluarga yang
mempunyai corak hubungan yang terpisah akan merasai perasaan yang bersifat
‘keterpisahan’ walaupun tidak seburuk corak hubungan yang ‘terlerai’ (disengaged). Manakala hubungan yang bersifat ‘terhubung’ (connected) ia akan mengalami perasaan
emosi yang lebih rapat dan patuh kepada hubungan ini. Bagi mereka masa bersama adalah lebih penting
daripada masa bersendirian.
Keluarga dalam keadaan ketidakseimbangan darjah kohesinya
dikategorikan dalam kumpulan ekstrim (amat rendah atau amat tinggi). Hubungan yang bersifat ‘terlerai’
kebiasaannya mengalami emosi yang terpisah.
Keadaan ini berlaku kerana terlalu sedikit keterlibatan dalam sesuatu
hubungan di kalangan ahli keluarga.
Individu dalam keluarga sering bersendirian dan ahli juga tidak dapat
mengharapkan sokongan dalam cubaan untuk menyelesaikan masalah antara satu sama
lain.
Kebolehsuaian Keluarga
Kebolehsuaian keluarga adalah
merujuk kepada sejauhmana dalam sistem keluarga ahli-keluarga dapat
menyesuaikan diri antara satu sama lain.
Dalam dimensi ini, terdapat 4 kategori darjah kebolehsuaian iaitu
‘tegar’ (rigid), berstruktur,
fleksibel dan huru-hara (chaotic). Darjah kebolehsuaian yang dikategorikan
sebagai berstruktur dan fleksibel lebih kondusif kepada kefungsian keluarga
manakala kebolehsuaian keluarga yang berada dalam kategori tegar dan huru-hara
disifatkan sebagai tahap yang berada dalam keadaan bermasalah kepada putaran
kehidupan berkeluarga.
Secara umumnya kebolehsuaian keluarga lebih memfokus
kepada perubahan-perubahan keluarga dalam aspek kepimpinan, peranan dan
peraturan dalam sesebuah keluarga.
Sesebuah sistem keluarga ia memerlukan kepada kestabilan, namun
kemampuan keluarga dalam menyesuaikan peranannya adalah perlu bagi sesebuah
keluarga itu dapat berfungsi dengan baik.
Keluarga yang dikategorikan sebagai ‘balanced’ dianggap lebih mudah untuk bertukar tahap kohesi dan
kesesuaian dalam keluarga bagi memenuhi keperluan, keutaman dan perasaan
ahli-ahli dalam sesebuah keluarga. Bagi
keluarga yang dikategorikan sebagai ‘mid-range’,
tahap kohesi dan kesesuaiannya adalah sederhana. Manakala bagi keluarga yang dikategorikan
sebagai ‘extreme’ atau tegar, ia
memperlihatkan tahap yang paling rendah atau tinggi pada kedua-dua
dimensi. Jenis keluarga ini lebih terhad
tahap keupayaan organisasi dalam keluarga untuk mengendalikan cabaran-cabaran
dalam kehidupan berkeluarga. Menurut
Barnes dan Olson (1985), komunikasi dalam sesebuah keluarga penting kerana ia
mempengaruhi pembentukan identiti dan kesesuaian pengambilan peranan seseorang
remaja itu.
Sistem keluarga dari jenis yang berstruktur dan fleksibel
adalah lebih berfungsi untuk tempoh jangka masa yang panjang di mana hubungan
keluarga dalam bentuk berstruktur kebiasaannya mempunyai kepimpinan keluarga
yang bersifat lebih demokratik. Bagi
keluarga yang berhubungan secara fleksibel ia mempunyai kepimpinan keluarga
yang mementingkan unsur-unsur keseimbangan dengan pendekatan demokratik dalam
menentukan sesuatu keputusan di mana unsur-unsur perundingan dan perbincangan
secara lebih terbuka yang melibatkan ahli-ahli keluarga.
Kebolehsuaian keluarga yang ‘extreme’ atau tegar
lebih cenderung untuk mengalami keadaan yang tidak stabil. Hubungan yang terdapat di dalamnya adalah
bersifat kaku dan berbentuk sehaja sahaja.
Bentuk-bentuk perundingan dalam menentukan sebarang keputusan adalah
sangat terhad di mana kepimpinan biasanya menetapkan sesuatu keputusan. Bagi aspek peranan dan peraturan adalah
bersifat rigid dan tetap tanpa boleh diubah-ubah.
Proses Terapi
Keluarga
Sebagaimana di dalam kaunseling
dan terapi-terapi yang lain misalnya, kaunseling/ terapi individu dan
kaunseling/ terapi kelompok, kaunseling/ terapi keluarga juga mempunyai proses
dan tatacara tersendiri. Secara amnya ia
adalah seperti berikut :
i) Tugas/Perancangan Pra-Sesi
Interaksi
pertama sangatlah penting di dalam terapi keluarga. Oleh itu, kontak atau percakapan pertama sama
ada melalui telefon atau pun bersemuka perlulah mempunyai unsur-unsur untuk
menarik, memberi keyakinan, harapan dan kegembiraan kepada klien. Ini adalah keranan klien menghubungi
kaunselor atau terapis bermakna mereka mempunyai masalah. Kejayaan di peringkat ini adalah penentuan
kejayaan sesi seterusnya.
Pada peringkat ini juga kaunselor perlu
merancang untuk membuat penilaian awal mengenai keluarga ini. Penilaian dan hipotesis adalah perlu
berdasarkan dinamika keluarga, pusingan atau kitaran hayat keluarga, etnik,
kaum, agama, adat dan budaya keluarga itu.
Ahli terapi itu juga perlu membuat diagnostik peringkat awal dan
perancangan penyelesaian.
ii) Sesi Pertama
Perhubungan
bersemuka pertama dengan ahli-ahli keluarga perlulah mempunyai ciri-ciri :
-
tentukan struktur yang hendak diikuti
– Kaunselor perlulah menentukan struktur sama seperti di dalam proses kaunseling
individu. Ini termasuklah menetapkan
jangka masa bagi setiap sesi, bentuk hubungan di antara kaunselor dengan klien,
penentuan bayaran kalau ada dan lain-lain lagi.
-
Jalinkan kemesraan – Kaunselor
perlulah mengujudkan suasana keselesaan dan harmonis bagi menarik dan
melembutkan hati semua ahli keluarga yang hadir supaya mereka tidak bosan atau
teragak-agak hendak menghadiri sesi terapi selanjutnya.
-
Pulihkan hubungan di kalangan ahli
keluarga – Kaunselor juga perlu memulihkan hubungan di antara ahli keluarga
yang renggang untuk membolehkan mereka bekerjasama di antara satu sama
lain. Sikap konfrantasi, memperlekeh
atau memandang rendah ahli-ahli yang lain akan menghalang proses kaunseling
seterusnya.
-
Perhatikan bentuk hubungan
kekeluargaan – Kaunselor perlu memerhatikan bentuk dan pola-pola hubungan
kekeluragaan di dalam keluarga itu.
Misalnya siapakah yang mendominasi tingkahlaku dan pergerakan ahli
keluarga. Siapakah yang mempunyai kuasa
veto di dalam membuat keputusan.
Bagaimanakah kedudukan tempat di antara ahli semasa sesi tersebut. Siapa yang berjauhan dengan siapa, siapa yang
berbisik-bisik dengan siapa dan lain-lain lagi.
-
Mengatasi halangan – Kaunselor juga
mesti berupaya menjangka dan mengatasi halangan-halangan yang timbul dari ahli
keluarga semasa sesi kaunseling itu.
Misalnya ada di antara mereka memonopoli dialog serta cuba menguasai
sesi tersebut, ada pula di antara mereka yang akan cuba merendah-rendah cakap orang
lain. Terdapat juga ahli yang diam dan
tidak ingin bercakap, hanya mengangguk sahaja dan berbagai-bagai lagi kerenah
mereka. Terdapat juga ahli yang
menentang kerana tidak suka kepada perubahan yang berlaku. Cadangan untuk berubah adalah sukar bagi
sesetengah orang. Ada juga orang yang tidak boleh ‘give and
take’, tetapi merka mesti berkorban dan bersedia untuk berubah. Tanpa pengorbanan, maka tidak akan ada
pembaikan.
-
Berikan harapan – terdapat ahli
keluarga yang tidak yakin kepada proses kaunseling dan putus harap. Mungkin kerana masalah mereka amat sulit dan
berliku-berliku. Oleh itu kaunselor
mestilah berupaya untuk memberikan harapan dan semangat kepada kliennya.
Sebagai rumusan sesi pertama ini sangat penting kerana ia
menentukan kejayaan, sesi-sesi berikutnya.
Ia membentuk hubungan, kemesraan, kepercayaan dan harapan untuk
menyelesaikan masalah. Ia juga
menentukan pembentukan struktur, pengenalan masalah, diagnosis dan cadangan
penyelesaian.
iii) Sesi-sesi Pertengahan
Bagi sesi-sesi kaunseling
berikutnya, sama seperti kaunseling atau terapi lain, kaunselor perlulah
meneroka, merangsang, mendorong setiap ahli bercakap dan meluahkan pandangangan
mereka tentang keluarga itu. Kalau perlu
berikan beberapa ‘assignment’ tertentu kepada mereka. Aktivit-aktiviti perlu di dalam sesi ini
antaranya ialah ;
-
Hubungkan keluarga dengan agensi luar
– Kalau perlu hubungkan keluarga itu dengan agensi luar. Misalnya mereka mempunyai masalah guaman,
hubungkan mereka dengan Biro Bantuan Guaman.
Atau pun mereka mempunyai masalah tuntutan nafkah, hubungkan mereka
dengan Jabatan Agama atau lain-lain jabatan berkaitan.
-
Hubungkan kelaurga dengan ahli
keluarga luas – Ahli keluarga luas seperti datuk, nenek, ibu/bapa saudara, pak
cik makcik dan lain-lain perlu dihubungkan andainya perlu. Mereka mungkin mempunyai pengaruh, disegani
dan dapat membantu menyelesaikan masalah.
Sesi ini boleh disimpulkan sebagai peringkat yang
menentukan kejayaan proses terapi/ kaunseling/
Di peringkat inilah sebahagian besar aktiviti penting terapi keluarga
dilaksanakan. Kaunselor akan memberi
penumpuan kepada mencari penyebab dan punca masalah dan selepas itu memberi
penumpuan kepada mencari penyelesaian.
Beliau akan mencadangkan cara dan teknik alternatif atau pilihan yang
ada, assignment serta latihan yang hendak diikuti dan berbagai-bagai lagi. Kemungkinan juga disini dicadangkan supaya
ahli keluarga mengikuti latihan-latihan keibubapaan, kemahiran, komunikasi
dalam keluarga dan lain-lain.
iv) Sesi Penamatan
Biasanya terdapat beberapa
langkah di dalam sesi penamatan, antaranya ialah:
-
Menyatakan
Niat/ Tujuan Penamatan – Pernyataan niat ini adalah perlu
untuk mengelakkan pergantungan klien yang berterusan kepada kaunselor.
Kaunselor atau terapis menyatakan niatnya kepada ahli-ahli keluarga untuk
menamatkan sesi kaunseling apabila telah mencapai objektifnya. Pernyataan niatnya ini boleh disampaikan di
dalam berbagai-bagai cara sama ada secara langsung atau secara tidak
langsung. Contohnya : Kaunselor
menyatakan “nampaknya kita telah sampai ke penghujung jalan, matlamat telah pun
dicapai dan sesi ini akan berakhir ….”.
-
Membuat
Rumusan
– Apabila keluarga tersebut telah maklum dengan niat dan tujuan kaunselor, maka
rumusan hendaklah dibuat bagi keseluruhan sesi kaunseling yang telah dilalui
itu, bagaimana ia bermula dan bagaimana ia berakhir dan bagaimana untuk
mengelakkannya dari berlaku di masa akan datang.
-
Membincangkan Rancangan Masa Hadapan –
Kaunselor atau terapis perlu membincangkan dengan keluarga mengenai pelan
jangka panjang bagaimana untuk membuat persediaan menghadapi kehidupan di zaman
hadapan tanpa bantuan kaunselor.
-
Program
Susulan (Follow-up) – Di samping rancangan masa hadapan
kaunselor atau terapis perlu membuat “Follow-Up” mengenai semua rancangan yang
di atur. Sayugia difahami di sini terapi
keluarga ialah suatu aktiviti yang berterusan.
Seorang kaunselor tidak akan putus hubungan dengan klien/ keluarga
secara total. Keluarga akan kembali
kepada kaunselor bila-masa perlu.
Kaunselor pula perlu melayan kehendak kliennya apabila dia kembali
kepadanya. Kaunselor perlu bertanya
khabar kepada kliennya dari masa ke semasa untuk mengetahui mengenai
perkembangan, kemajuan dan kejayaan.
Ataupun halangan-halangan baru yang timbul sepelas proses terapi
berakhir.
-
Ucapan
Perpisahan
– Kaunselor dan klien patut membuat ucapan perpisahan secara rasmi jika
perlu. Misalnya pergi ke kantin dan
minum bersama- berdoa untuk kesejahteraan keluarga tersebut dan lain-lain
perkara yang difikirkan patut.
Sebagai rumusan sesi ini ialah
kejayaan dan perpisahan serta kehilangan kebergantungan klien kepada
kaunselor. Ia memberi panduan kepada
klien untuk terus maju tanpa pertolongan dari kaunselor. Ia juga memberi motivasi untuk mencari
pendidikan bagi memajukan keluarga seterusnya di masa-masa akan datang.
(Ini pendekatan yang saya gunakan semasa melakukan bengkel interaktif di JKM. Rujukan oleh buku bengkel interaktif yang dikeluarkan oleh JKM, Bahagian Kaunseling & Psikologi)
LEMBARAN KAUNSELING KELUARGA
Lembaran ini saya reka khas untuk kegunaan dan memudahkan proses perjalanan sesi-sesi keluarga yang saya urusakan.
harapan perkongsian ini memberi manfaat....selamat beramal...