Monday, June 27, 2016

Pencarian Bloglist Bulan Julai By Aina

Lama dah tak join benda-benda macam ini....so sy nak join...:) kalau anda hendak join sila klik banner ya :P

banner

Ada rezeki boleh jadi pemenang :)


Wednesday, June 15, 2016

KEMURUNGAN (MAJOR DEPRESSION)

ASSALAMMUALAIKUM DAN SALAM RAMADHAN...

Artikel kali ini saya ingin berkongsi tentang salah satu penyakit yang biasanya melanda kita tanpa kita sedari dan ada yang berpeluang menyedarinya dikala sakit ini masih diperingkat awal dan mendapatkan rawatan. Namun ada kalanya ianya dikesan lewat dan ini yang mengundang bahaya kepada diri sendiri mahupun persekitaran.
Kemurungan ini selalunya berkaitan dengan emosi…Allah telah menganugerahkan kita berbagai emosi…gembira, susah hati, resah, tenang, cinta dan pelbagai lagi perasaan yang mewarnai hidup kita ini . Perasaan susah hati , gundah gulana, murung merupakan contoh emosi yang menggambarkan kesedihan.

Ia mempunyai spektrum daripada perasaan sedih yang tidak ketara kepada kesedihan yang melampau. Perasaan kita juga berubah-ubah dan berterusan dalam tempoh-tempoh tertentu. Si isteri mungkin merasa sedih selama dua atau tiga jam jika dimarahi suami dan kemudian gembira semula setelah keluar membeli-belah . Si isteri juga boleh merasa sedih sehingga berbulan-bulan jika kematian suami. Persoalannya, adakah semua perasaan sedih itu normal?. Perlukah kita berjumpa doktor hanya kerana kita merasa sedih?.




Kemurungan (Major Depression)

Kemurungan atau depression adalah satu istilah perubatan yang menggambarkan perubahan emosi yang keterlaluan. Ia bukan lagi emosi normal tetapi suatu penyakit yang perlu dirawat.

Penyakit kemurungan merupakan penyakit perubatan yang melibatkan perasaan sedih atau murung. Namun berbeza daripada perasaan sedih yang mungkin dirasakan apabila kita kehilangan telefon bimbit contohnya, bagi mereka yang mengalami masalah ini, perasaan sedih atau murung ini berpanjangan. Pada masa yang sama, mereka juga seringkali mempunyai perasaan terlalu rendah diri dan sering merasakan diri mereka bersalah dan berdosa dalam setiap perkara yang berlaku dalam kehidupan mereka. Perasaan murung ini hadir dalam diri mereka pada setiap waktu sepanjang hari dan boleh berlarutan sehingga berminggu-minggu. Ini berbeza dengan perasaan sedih biasa yang kita alami apabila sesuatu musibah berlaku yang akan hilang dalam masa yang singkat setelah musibah itu berlalu.
Diagnosis penyakit ini melibatkan temubual ataupun menggunakan ujian psikologi yang berkaitan antara pakar dengan mereka yang dirasakan menghidapi penyakit kemurungan. Diagnosis ini berpandukan kriteria yang ditetapkan oleh World Health Organization (WHO) dan American Psychiatric Association (APA).

Kenapa kemurungan perlu dirawat?

Kemurungan perlu dirawat kerana ia merupakan penyakit yang boleh merosakkan diri kita melalui pelbagai aspek. Penyakit kemurungan menyebabkan kita tidak dapat berfungsi dengan baik. Pesakit yang mengalami kemurungan tiada tenaga, tiada motivasi, sakit-sakit badan dan tidak bermaya untuk bekerja seperti biasa. Mereka akan ponteng bekerja, prestasi merosot dan menimbulkan masalah dengan majikan. Keluarga pesakit juga mendapat efek negatif kerana pesakit tidak lagi berfungsi sebagai suami , isteri atau ibubapa yang bertanggungjawab lagi Mereka tidak menjalankan tugas seharian dengan baik, hilang pertimbangan dan tiada kawalan diri.

Di peringkat yang teruk, pesakit mempunyai perasaan bersalah, tidak berguna dan akhirnya ingin membunuh diri. Psikosis juga boleh berlaku jika kemurungan tidak dirawat dengan segera.


Apakah tanda-tanda kemurungan?


1. Perasaan murung atau sering marah-marah hampir sepanjang hari dan hampir setiap hari dalam tempoh dua minggu. Perasaan ini dilaporkan oleh pesakit secara subjektif seperti perasaan rendah diri ataupun daripada pengamatan orang luar contohnya selalu menangis.
2. Tidak bersemangat atau tidak berminat melakukan aktiviti sosial yang biasa dilakukan hampir setiap hari. Contohnya tidak berminat untuk bersukan lagi atau berjumpa dengan sanak-saudara.
3. Berat badan merosot (~5%) daripada asal dalam waktu yang singkat atau kurang selera makan.
4. Corak tidur berubah, sama ada kurang tidur (insomnia) atau terlebih tidur (hypersomnia).
5. Perubahan dalam melakukan aktiviti seharian, sama ada terlebih aktif atau kurang aktif.
6. Selalu letih dan kurang tenaga dalam melakukan aktiviti harian.
7. Perasaan bersalah yang tidak setimpal dengan  sesuatu kesalahan perbuatan  atau merasakan diri tidak berguna
8. Tidak mampu memberikan konsentrasi atau  berfikir secara rasional. Pesakit juga merasakan susah untuk membuat keputusan dalam kehidupan hariannya.
9. Berfikir tentang  keinginan untuk mati atau bunuh diri dengan kerap, atau mempunyai pelan masa hadapan untuk membunuh diri.

Terdapat juga pesakit yang mempunyai kemurungan atipikal. Kemurungan Atipikal (Atypical depression) adalah kemurungan yang berlaku dengan tanda-tanda yang luar daripada biasa seperti selera makan yang bertambah (pesakit yang terlalu stress makan banyak untuk hilangkan stress), berat badan akan bertambah (kerana makan dengan banyak) dan mereka juga banyak tidur. Ini berbeza daripada kemurungan biasa di mana pesakit tiada selera makan, berat badan menurun dan susah untuk tidur.
Bagi kanak-kanak dan orang tua pula, mereka mungkin mempunyai tanda-tanda kemurungan yang tidak ketara dan sukar dikesan kerana mereka mempunyai tanda-tanda yang berbeza yang dipanggil masked depression. Bagi kanak-kanak dan remaja kemurungan sukar dikesan kerana mereka mungkin mempunyai tanda-tanda seperti masalah tingkahlaku , sakit-sakit perut, histeria sebagai presentasi kemurungan. Bagi orang tua pula, kebanyakan mereka mempunyai masalah-masalah seperti gastritis, sakit kepala, sakit sendi, mudah lupa dan pseudodementia sebagai tanda kemurungan.

Siapakah yang berisiko untuk mendapat kemurungan?

Jantina: Kemurungan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tetapi lebih ramai wanita mengalami kemurungan berbanding lelaki . 15 - 25% kaum wanita boleh mendapat penyakit ini.

Umur: Purata pesakit berumur 40 tahun. 50% daripada mereka yang mengalami kemurungan berumur antara 20-50 tahun. Kemurungan juga boleh berlaku di kalangan kanak-kanak dan orang tua.

Taraf perkahwinan: Kemurungan lebih kerap berlaku di kalangan individu yang tiada pasangan hidup seperti duda, janda dan balu berbanding individu yang berkahwin.

Keluarga : Kemurungan adalah penyakit turun temurun. Jika anda mempunyai keluarga (seperti ibu, bapa atau adik-beradik) yang mengalami penyakit ini, anda 2-3 kali lebih daripada orang lain untuk mendapat kemurungan

Apakah punca penyakit kemurungan?

Terdapat beberapa faktor yang  menyumbang kepada seseorang itu untuk mengalami penyakit kemurungan. Salah satunya ialah genetik atau keturunan. Individu yang mempunyai ahli keluarga yang pernah menghidapi penyakit kemurungan, mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidapi penyakit ini apabila dibandingkan dengan mereka yang tidak. Selain itu, individu dengan personaliti yang selalu gelisah atau tidak ceria adalah lebih cenderung untuk mendapat penyakit ini.

Mereka yang pernah mengalami peristiwa hidup yang memberi impak pada zaman kanak-kanak juga mempunyai risiko yang lebih tinggi. Contohnya trauma psikologi di zaman kanak-kanak atau trauma fizikal ke atas otak kerana  kecederaan atau penyalahgunaan dadah. Kemalangan yang berlaku pada zaman kanak- kanak memberi kesan yang lebih besar dan membawa kepada risiko yang lebih tinggi untuk penyakit kemurungan bagi seseorang individu dalam kehidupan dewasanya. Bagi mereka yang menggunakan dadah, risiko untuk menghidapi penyakit kemurungan juga turut meningkat berbanding dengan mereka yang tidak mengambil dadah. Penggunaan dadah di sini termasuklah menghisap rokok.
Sesetengah sejarah hidup yang negatif atau yang menyebabkan tekanan jiwa boleh menjadikan seseorang individu itu lebih terdedah untuk menghidapi penyakit kemurungan. Oleh itu, mereka ini haruslah lebih berwaspada dan mendapatkan pertolongan secepat mungkin.

Di antara faktor psikososial kemurungan:
  • Masalah sosial seperti menjadi mangsa penganiayaan , penderaan fizikal atau seksual, kematian orang tersayang, putus cinta, kesempitan wang, gagal dalam pekerjaan, pelajaran dan lain-lain lagi. Masalah sosial ini mungkin telah lama dialami tetapi masih menjadi memori kepada pesakit dan boleh mencetus kemurungan.
  • Cara menyelesaikan masalah: Kemurungan lebih mudah berlaku di kalangan individu yang tidak tahu cara yang baik untuk menyelesaikan masalah. Individu yang mempunyai Coping Strategy dan problem solving technique yang betul dan produktif lebih mudah menangani masalah dan kurang risiko untuk murung.
  • Personaliti. Tiada satu personaliti tertentu yang menyebabkan individu mendapat kemurungan, tetapi terdapat individu yang mempunyai personaliti tertentu seperti terlalu obsessif ( terlalu teliti, bercita-cita tinggi dll), dependent ( bergantung kepada orang lain dan non assertive ( tidak mampu menegakkan hak sendiri) yang mudah mendapat kemurungan.
Antara faktor lain yang menyebabkan penyakit kemurungan ialah ketidakseimbangan bahan kimia atau hormon di dalam otak. Hormon utama yang sering dikaitkan ialah serotonin. Antara hormon lain yang turut terlibat ialah norepinephrine dan dopamine. Bahan-bahan ini diperlukan untuk otak kita berfungsi secara normal dalam mengawal perasaan kita. Oleh itu, kegagalan dalam penghasilan atau peningkatan dalam pemusnahan bahan-bahan ini akan menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan bahan kimia ini dan seterusnya menjurus seseorang itu menghidap  penyakit kemurungan .

Diantara faktor biologi kemurungan:
  • Ketidakseimbangan neurotransmitter (seperti serotonin, noradrenalin, dopamin) dan reseptor ( seperti reseptor 5 HT2, ) yang penting dalan fungsi otak dan saraf
  • Ketidakseimbangan regulasi hormon seperti hormon kortisol dan tiroid
  • Patologi di otak seperti dilatasi ventrikel, patologi limbik sistem, prefrontal dan basal ganglia
  • Faktor genetik
  • Jangkitan virus di awal kelahiran atau di peringkat janin 
Bolehkah kita merawat penyakit kemurungan?

Rawatan kemurungan adalah menyeluruh berdasarkan prinsip biopsikososial dan spiritual
Rawatan juga bergantung kepada keterukan (severity) penyakit ini.

Pesakit yang mengalami kemurungan serius

Pesakit yang mendapat kemurungan serius perlu dimasukkan ke hospital . Diantara tanda-tandanya:
  • merbahaya kepada diri sendiri ( cth: perasaan atau cubaan bunuh diri, tidak mahu makan dan minum sehingga kesihatan terjejas)
  • merbahaya kepada orang lain ( cth: perasaan benci keterlaluan sehingga berniat mencederakan atau membunuh orang lain)
  • mempunyai tanda-tanda psikosis yang keterlaluan
Penyakit kemurungan perlu dikenalpasti dan diberikan diagnosis sebelum rawatan dapat diberikan. Individu yang mempunyai penyakit ini, bergantung kepada tahap keterukannya, boleh memilih di antara “talking therapy” (psikoterapi)  atau penggunaan ubat. Selalunya untuk kes sederhana atau berat, kombinasi terapi boleh digunakan untuk merawat pesakit dan kajian telah menunjukkan keputusan yang memberangsangkan apabila kombinasi rawatan digunakan.
Rawatan menggunakan ubat-ubatan adalah efektif dan selamat. Walaupun setiap ubat mempunyai kesan sampingan, sekiranya tidak memberikan rawatan untuk penyakit kemurungan adalah lebih bahaya daripada kesan sampingan tersebut. Juga perlu dijelaskan bahawa kesan sampingan ubat-ubat ini selalunya kecil dan jutaan pesakit di seluruh dunia yang menerima rawatan ini dapat menerima kesan sampingannya.

Ubat-ubatan:
  • Ubat antidepressant perlu untuk menangani kemurungan dan di beri sehingga pesakit benar-benar sembuh dan boleh berfungsi semula dengan baik
  • Ubat antianxiety perlu untuk menangani keresahan tetapi diberi untuk tempoh yang singkat
  • Ubat sleeping pill di beri jika perlu untuk memudahkan pesakit tidur dan rehat dengan cukup tetapi untuk tempoh yang singkat.
Rawatan Psikososial :
  • Berbincang cara penyelesaian masalah ( problem solving technique)
  • Berbincang cara meluahkan dan menangani kemarahan ( anger management)
  • Berbincang cara terbaik menangani stress ( stress management & coping skill)
  • Mendapat penjelasan tentang penyakit, rawatan dan komplikasi (Psychoeducation)
  • Perbincangan tentang menyelesaikan masalah kewangan dan masalah sosial lain melalui rujukan kepada agensi berkenaan
Psikoterapi ( RUJUK PSIKOTERAPI)- mengikut kesesuaian (* yang sering saya gunakan)
  • Cognitive Behavioural Therapy (CBT) ~ Untuk membaik pulih aspek kognitif dan tingkahlaku.
  • Terapi Tingkah Laku ~ Menggunakan thought diary – carta harian kognitif
  • Psikoterapi interpersonal
~ Memperbaiki cara komunikasi, mengenalpasti konflik peranan dan meningkatkan       kemahiran bersosial.

  • ·         Terapi Alternatif

Ø  Emotional Freedom Technique (EFT)/Spiritual Emotional Freedom Technique (SEFT)
Ø  Teknik Relaksasi
Ø  Latihan Relaksasi Otot (PMR)
Ø  Urutan
Ø  Aromaterapi
Ø  Mindfulness Technique

Selain itu terdapat beberapa perkara penting yang harus di titik beratkan dalam proses rawatan ini iatu :

  • Rehat & Sokongan
  • Pemakanan
  • Senaman

Pesakit yang mengalami kemurungan ringan dan mempunyai sokongan keluarga yang baik boleh memilih untuk bantuan psikososial dan psikoterapi sahaja.

Rujukan : KESIHATAN MENTAL ~ Manual komprehensif bagi pengamal psikologi oleh JPA



Sunday, June 12, 2016

Pedophile ~ Ibu Bapa Ambil Cakna~

ASSALAMMUALAIKUM DAN SALAM RAMADHAN...




Sekarang ini negara kita Malaysia di gegarkan sekali lagi dengan gejala "Pedophile"....

Adakah kita telah bersedia ataupun kita tahu apa yang diperkatakan itu???

Pernahkah anda mendengar perkataan pedophile ? Apa yang anda tahu tentang pedophile ? Berdasarkan pengalaman saya, tidak ramai penduduk Malaysia yang tahu apa itu pedophile. Dan yang paling membimbangkan sudahlah tidak tahu, bila di beri ilmu tidak mahu ambil tahu dan kadang-kadang sengaja tidak mahu ambil tahu.

Ibu dan ayah…adalah penting untuk kita mengambil tahu akan hal ini…berkemungkinan besar anak-anak kita terdedah dengan gejala ini mahupun individu-individu seperti ini. Pada pengamatan saya, Pemangsa yang menjadi pedophile ini biasanya adalah seorang mangsa pada masa silamnya dan biasanya ia berlaku ketika zaman kanak-kanaknya dan tidak ditangani. Ianya juga berkaitan dengan pengalaman pengenalan pertama seks oleh pemangsa.

Sebelum saya pergi lebih jauh dalam pengulasan saya…izinkan saya berkongsi apa itu pedophile sebenarnya….

Maksud Pedophile

Kata Pedophilia berasal dari kata Yunani: pαῖς (paîs), yang berarti “anak” dan, pilία (philía), yang berarti "cinta yang bersifat pertemanan" atau "persahabatan".
Pedophile bermaksud seseorang yang mempunyai keinginan seks terhadap kanak-kanak (tidak kira kanak-kanak tersebut adalah lelaki atau perempuan). Biasanya, golongan pedophile adalah dari kaum lelaki, terdapat juga pedophile dari golongan perempuan, tetapi ianya adalah amat jarang. Jika seseorang lelaki tertarik kepada kanak-kanak lelaki, mereka bukanlah seorang gay, tetapi mereka adalah seorang pedophile.

Pedophilia digunakan untuk orang-orang yang secara eksklusif mempunyai ketertarikan seksual pada anak-anak pra-remaja iatu di bawah usia 13 tahun. Termasuk di dalamnya adalah Nepiophilia atau Infantophliia iatu yang tertarik pada bayi dan anak-anak kecil (toddlers) yang berusia 0-3 tahun. Di luar itu ada juga yang tertarik pada anak-anak yang berusia antara 11-14 tahun yang disebut Hebephilia.



Kenapa seseorang itu menjadi pedophile ?

Faktor seseorang menjadi pedophile sebenarnya adalah masih tidak dapat sisahihkan 100%. Tetapi menurut kajian pada masa kini, golongan pedophile adalah terdiri dari golongan yang mempunyai sejenis penyakit mental. Mereka juga mungkin mengalami trauma semasa kecil, seperti dicabul semasa usia kecil. 


Kenapa pedophile tertarik kepada kanak-kanak ?

Sesetengah daripada mereka dilahirkan dengan nafsu tersebut. Sama seperti seorang manusia normal, manusia normal mempunyai hawa nafsu terhadap kaum yang berlawanan (perempuan dengan lelaki dan lelaki dengan perempuan). Dan sesetengah dari mereka adalah mangsa pada zaman kanak-kanaknya dan ianya menjadi lekatan langsung terbentuk pula pemangsa apabila meningkat usianya kerana kepuasan dan pengenalan yang telah di berikan padanya.

Saya sendiri telah menghadiri satu kursus yang memfokuskan tentang hal ini, pendedahan dan tugas serta peranan Pegawai Psikologi dalam membantu masalah ini. Sekarang pendidikan Malaysia banyak menerapkan pada kanak-kanak tentang hal ini adalah satu perkara yang baik. Namun selain kanak-kanak ibu bapa juga harus didedahkan hal ini kerana ada kes yang telah diberitahu oleh anak namun ibu atau bapa tidak mempercayainya.

Kajian ini amat mengganggu fikiran saya kerana data-data yang dikemukakan menunjukkan aspek interaksi intim yang hari ini dianggap sebagai pencabulan seksual ke atas kanak-kanak, berada di daerah yang kabur di dalam sejarah umat Islam. Sekurang-kurangnya tiga kurun menjelang era moden, memperlihatkan umat Islam masuk ke zaman moden dengan kefahaman yang tidaklah bersifat hitam putih dalam menentukan batas halal dan haram dalam isu ini.
Jika Barat sudah membongkar salah laku gereja dalam mencabul kanak-kanak, bagaimana pula dengan kesediaan kita membongkar jenayah ini di dalam sejarah kita?
Apakah sambil lewa kita sudah berakar umbi di dalam sejarah? Sebab itu, apabila mangsa serta pemangsa dalam kes jenayah seksual seperti isu Nur Fitri ini, saya tertanya-tanya, apakah sebenarnya penyelesaian yang dimaksudkan sebagai rawatan Islam?


Saya harap lebih ramai agamawan yang berwibawa memberi reaksi kepada isu ini yang semakin meruncing!
Di sini saya kongsikan saranan penting oleh Puan Noor Afidah Abu Bakar, Parent Connect Consultancy, untuk perhatian kita sekeluarga, juga guru-guru dan masyarakat, dalam melaksanakan tanggungjawab kita melindungi kanak-kanak daripada mangsa jenayah paedophile.
Teringat kira-kira 10 tahun yang lalu, semasa baru sahaja kembali ke tanah air, saya pernah berbual dengan isteri, “tidak lama lagi Malaysia ini akan ada makin ramai penjenayah yang bermasalah mental dan jenayahnya memerlukan pihak berwajib mahir membuat profiling penjenayah sebegini”:

[PEDOFILIA: PERLUKAH KITA KISAH?]

Pedofilia adalah seorang dewasa atau remaja yang mempunyai kecenderungan dan keinginan seksual terhadap kanak-kanak. Pedofilia telah lama terlepas bebas di negara kita.
Ingatkah lagi pembunuhan kejam adik Nurin Jazlin pada tahun 2007 dulu? Kegagalan pihak berkuasa menangkap pembunuh adik Nurin sejak 8 tahun lalu membuktikan bahawa sekurang-kurangnya seorang pedofilia tegar masih bebas. Pedofilia dalam kes ini memperolehi kepuasan dengan mendera anak kecil secara seksual dengan kejamnya. Pedofilia yang masih bebas itu mungkin pernah mendukung anak kecil kita yang dipuji comel, dia mungkin adalah ‘friend’ Facebook kita, dia mungkin seorang ‘jaga’ di apartment kita, dia mungkin juga peniaga kantin sekolah anak kita dan dia sudah pastinya saudara mara salah seorang daripada kita. Pelbagai kemungkinan.
 Kita juga digemparkan dengan berita tertangkapnya seorang pedofilia yang merupakan pelajar Malaysia di universiti terkemuka London. Pelajar ini menyimpan, menghasilkan dan mengedar gambar dan video pornografi kelas A yang hakikatnya adalah penderaan seksual kanak-kanak yang ekstrim. Berapa ramai lagikah mereka ini di Malaysia?
Pada awal tahun 2015, ibubapa di UK dikejutkan dengan penemuan website pedofilia berpengkalan di Rusia yang mengandungi 41 juta keping gambar kanak-kanak. Gambar-gambar tersebut disalin dari akaun media sosial milik peribadi/keluarga mangsa dan dimuatnaik ke website tersebut yang mempunyai beratus-ratus ribu pengunjung dari seluruh dunia. Petikan dari laporan, “Most of the images are accompanied by inappropriate comments from users across the world, which show they are being used for sexual gratification.”

Bayangkan jika gambar anak-anak kecil kita juga dimuatnaik ke situ.
Kebanyakan kanak-kanak yang menjadi mangsa pedofilia adalah yang belum baligh (prepubescent), lelaki dan perempuan. Di Malaysia, pada awal tahun ini, seorang bayi berusia 7 bulan dirogol suami pengasuh di Kepong. Ini bukanlah satu-satunya kes di Malaysia yang melibatkan bayi. Ada lagi yang telah dilaporkan. Beginilah betapa jahat dan sakitnya seorang pedofilia. Adakah kita tidak perlu kisah?

BAGAIMANAKAH IBUBAPA BOLEH MELINDUNGI ANAK-ANAK DARI PEDOFILIA?
1. Sentiasa ‘connect’ dengan anak-anak dan bina kepercayaan supaya kita menjadi tempat bercerita dan mengadu.
2. Ingatkan anak-anak kecil untuk tidak menyimpan sebarang rahsia antara anak dan orang dewasa yang lain. Pedofilia selalunya memujuk anak untuk menyembunyikan perbuatan keji mereka.
3. Hentikan sifat malu dan segan untuk bercakap soal seksual dengan anak-anak. Setiap hari anak-anak kita terdedah kepada unsur seksual di media, internet, iklan, sekolah dan paling menghampakan, di muka hadapan suratkhabar utama. Rancangan TV kanak-kanak dan siri kartun juga ada yang mengandungi unsur seksual dan menggunakan bahasa yang berunsul seksual. Kita mesti bersedia dan bersifat terbuka untuk mendidik anak-anak tentang isu seksual apabila perlu. Berbicaralah mengikut kesesuaian umur anak dengan bahasa yang difahami anak.
4. Sentiasa peka dengan gerak tubuh anak-anak yang mungkin mempamirkan sebarang ketidak-selesaan atau kegelisahan. Ambil tahulah.
5. Berhati-hati dengan paparan gambar dan video anak-anak di media sosial dan internet secara umumnya. Kenalkah kita siapa ‘friend’ dan ‘follower’ kita? Gambar-gambar anak kita mungkin di antara 41 juta gambar di website pedofilia yang disebut di atas. Sekarang ini mungkin ada pedofilia yang sedang berfantasi seksual melihat gambar anak-anak kita.
6. Ajar anak kecil tentang “appropriate and inappropriate touch”. Pesan kepada anak-anak lelaki dan perempuan, bahawa tubuh-badan mereka adalah milik mereka dan tidak boleh disentuh oleh orang lain termasuklah saudara-mara terdekat ataupun mereka yang berada di rumah pengasuh/nurseri/tadika.
7. Kenalpasti urusan-urusan yang membabitkan keadaan berisiko kepada anak-anak seperti membersihkan diri selepas ke tandas, bersalin pakaian, mandi dan sebagainya dan selalulah bertanyakan mereka dalam perbualan tentang siapakah yang terlibat. Contohnya, kalau tiba-tiba anak kecil bercerita bahawa pada hari ini anak penjaga yang membersihkan dirinya selepas ke tandas, atau ada orang mengambil gambar mereka mandi, anda perlu bertindak segera.
8. Ajar anak-anak teknik YELL RUN AND TELL (JERIT, LARI DAN CERITA) sekiranya mereka disentuh oleh sesiapa yang membuatkan mereka rasa tidak selesa seperti yang telah kita tunjukkan (di atas).
9. Jangan biarkan anak kecil ke tandas awam bersendirian. Iringilah anak dan tunggu sehingga anak selesai ‘berurusan’ di tandas. Kiranya kita perlu ke tandas dan anak kita berseorangan dengan kita, apa yang boleh dilakukan adalah mencari tandas awam yang mempunyai banyak unit tandas dan suruh anak kita masuk ke dalam sebuah unit tandas. Pesan kepada anak supaya terus berada di dalam unit tandas mereka yang berkunci, sehinggalah kita mengetuk dan memanggil.
10. Pasanglah parental ‘control software’ dan perisian saringan di komputer yang digunakan oleh anak-anak. Bersembanglah dengan anak-anak tentang bahaya ‘chat’ dengan sesiapa sahaja yang dikenali di internet. Pedofilia sentiasa mencari mangsa dengan merayau-rayau di internet. Mereka pandai memujuk dan bermanis kata. Mereka juga menggunakan identiti palsu supaya mudah dipercayai oleh kanak-kanak.
11. Adakan peraturan yang mewajibkan anak-anak menggunakan komputer hanya di ruang keluarga/umum di dalam rumah. Elakkan dari membenarkan anak-anak menyimpan dan menggunakan komputer di dalam bilik tidur mereka kerana sukar untuk dipantau. Ini membuka peluang untuk pedofilia ‘masuk jarum’ kerana mereka tahu anak kita tidak diawasi.
12. Elakkan memberikan telefon pintar dengan keupayaan ber’chat’ kepada anak-anak kecil.
13. Pastikan kita kenal siapa kawan-kawan rapat anak-anak kita, begitu juga guru-guru, jurulatih dan semua remaja dan orang dewasa yang terlibat dengan anak-anak kita.
14. Jangan biarkan anak kecil ke mana-mana berseorangan walaupun destinasi yang berdekatan seperti kedai, pasar malam dan sebagainya. Pedofilia mungkin telah lama memerhatikan rutin dan gerak geri anak kita. Mereka mungkin telah pun merancang sesuatu dan hanya menunggu masa untuk bertindak jahat.
15. Bekerjasama dengan pihak nurseri/pra sekolah/sekolah anak untuk melindungi anak-anak dari pedofilia.
BAGAIMANA PIHAK NURSERI/PRA-SEKOLAH/SEKOLAH BOLEH MELINDUNGI KANAK-KANAK DARI PEDOFILIA?
1. Tidak memaparkan gambar pelajar di akaun media sosial peribadi guru dan kakitangan. Yakinkah kita ‘friend’ guru-guru bukannya pedofilia? Jika ada ibubapa yg menjadi ‘friend’ guru, biarlah hanya gambar anak ibubapa itu sahaja yang dipaparkan jika dibenarkan, bukannya seluruh kelas.
2. Paparan gambar di website dan media sosial rasmi pihak sekolah perlu mendapat persetujuan (consent) ibubapa terlebih dahulu.
3. Mengawal pengambilan gambar dan video pelajar oleh guru dan kakitangan sekolah. Di sesetengah negara, guru tidak dibenarkan membawa kamera, malah telefon bimbit guru yang berkamera ditinggalkan di pejabat sepanjang waktu persekolahan untuk memastikan gambar dan video tidak dirakam sewenang-wenangnya bukan kerana urusan rasmi.
4. Banyak negara mempunyai sistem daftar-rujukan yang membolehkan sekolah dan organisasi yang terlibat dengan kanak-kanak memeriksa latar belakang mereka yang bekerja dengan kanak-kanak. Sistem ini diwujudkan untuk melindungi kanak-kanak.
5. Memantau kiranya ada kakitangan yang gemar berseloroh dengan unsur yang tidak appropriate/lucah. Ini adalah salah satu indikasi gangguan jiwa.
6. Memastikan pintu kelas mempunyai bahagian berkaca untuk melihat ke dalam kelas.
7. Tiada urusan di lakukan antara guru dan kanak-kanak di dalam bilik yang tertutup. Pintu mesti sentiasa dibuka.
8. ‘Educate’ guru, ibubapa dan pelajar tentang pedofilia bagi menunjukkan keseriusan masalah tersebut.


Prihatinlah wahai ibubapa, guru-guru dan penggubal polisi. Ambil tahulah. 

Sejauh mana sesuatu masyarakat itu melindungi keselamatan anak-anak melalui kesedaran, polisi dan undang-undang, membuktikan sejauh mana masyarakat tersebut menghargai kanak-kanak.


Marilah juga kita sama-sama ‘connect’ dengan anak-anak remaja supaya mereka tidak menjadi seorang pedofilia. Semoga Allah melindungi anak-anak kita yang merupakan amanah dari Allah swt.


Noor Afidah Abu Bakar

Parent Connect Consultancy


Semoga..anak-anak kita dilindungi dari perkara-perkara yang merosakkan…oleh itu ibu bapa sila ambil cakna jika anda sayangkan anak-anak anda dan masa depan keturunan anda.

Wednesday, June 8, 2016

KEGANASAN RUMAHTANGGA


ASSALAMMUALAIKUM DAN SALAM RAMADHAN...

Hari ini saya terpanggil untuk memaparkan isu berkaitan dengan masalah keganasan rumahtangga yang masih lagi ditahap membimbangkan. Selaku kaunselor dalam bidang kebajikan saya banyak mengurusakan hal berkaitan dengan keganasan rumahtangga dan sebelum ini pun saya ada juga menguruskan hal ini semasa saya bergelar kaunselor dalam bidang pemulihan dan penyalahgunaan dadah. Namun semasa saya bertugas dalam bidang pemulihan dan penyalahgunaan dadah penglibatan saya agak terbatas kerana fokus hanya pada penagih manakala klien yang terlibat dengan keganasan rumahtangga adalah “significant other”. Apabila mendapat isu berkaitan saya akan membuat rujukan kepada kaunselor di JKM. Namun sekarang apabila berada di bidang dan laluan kebajikan sebenar, barulah penglibatan terus kepada mangsa mahupun pemangsa. Jom kita tinjau maklumat berkaitannya.



 Apakah Keganasan Rumah Tangga?
Mengikut Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521), keganasan rumah tangga melibatkan 8 perlakuan keganasan iaitu sebarang kelakuan yang menyebabkan mangsa takut dicederakan, sebarang kelakuan yang menyebabkan kecederaan pada fizikal mangsa, sebarang ancaman untuk melakukan perbuatan berbentuk seksual, sebarang kelakuan yang mengurung mangsa tanpa kerelaan, sebarang kelakuan yang menyebabkan kemusnahan kepada harta mangsa, sebarang kelakuan yang menyebabkan kecederaan emosi kepada mangsa dan sebarang kelakuan yang menyebabkan mangsa mengalami delusi. Oleh yang demikian, apa jua bentuk perlakuan yang menyebabkan atau menjurus kepada 8 keadaan di atas adalah terkait dengan kes keganasan rumah tangga.
Perlakuan keganasan yang disebutkan diperlakukan ke atas mana-mana ahli keluarga sama ada isteri atau suami, bekas isteri atau bekas suami, kanak-kanak atau mana-mana anggota lain keluarga termasuklah warga emas dan orang kurang upaya. Oleh itu, mana-mana individu yang diperlakukan dengan kelakuan keganasan seperti yang disebutkan di atas adalah dikatakan sebagai mangsa kepada keganasan rumah tangga. Fokus utamanya adalah melibatkan fizikal dan emosi (Mental).
Pentingnya Kesedaran Mengenai Keganasan Rumah Tangga
Keluarga merupakan institusi asas kepada pembentukan sesebuah masyarakat, sesebuah negara dan akhirnya membentuk populasi dunia. Kesejahteraan masyarakat antara negara adalah ditentukan oleh sejauh manakah keluarga yang membentuk komuniti tersebut mencapai kesejahteraan dalam kehidupan mereka kemudian menghasilkan masyarakat dan komuniti yang sejahtera juga.
Sebaliknya, kepincangan dalam pembangunan sesebuah institusi asas ini, tentunya akan memberi kesan kepada pembangunan masyarakat, negara dan akhirnya merosakkan pola pembentukan populasi dunia yang sejahtera. Imam Hassan Al Banna juga menegaskan bahawa, pembentukan sebuah masyarakat, kerajaan, negara, empayar dan masyarakat dunia, adalah berpaksi kepada kesejahteraan diperingkat keluarga yang didiami oleh individu-individu yang sejahtera.
Apakah Peranan Kita?
 Tiga peranan besar yang perlu dimainkan oleh ahli masyarakat dalam konteks ini. Pertama ialah prihatin kepada masyarakat sekeliling. Kita sebagai masyarakat sekitar dan hidup bermasyarakat perlu sentiasa prihatin terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita termasuklah jiran tetangga, rakan pejabat dan orang-orang yang sentiasa kita jumpa. Keprihatinan yang dimaksudkan ialah mengambil tahu perkembangan semasa dengan sentiasa menghululkan bantuan apabila diperlukan atau bertegur sapa ketika bertemu jika ada merasakan sesuatu yang tidak kena pada tempatnya.
Kedua ialah berperanan menyebarkan kesedaran dan kefahaman di kalangan setiap ahli masyarakat untuk bersama-sama menangani kes keganasan rumah tangga. Berdasarkan pemerhatian, kebanyakan mangsa yang terlibat dalam kes keganasan rumah tangga tidak mengetahui kepada siapa yang boleh mereka mengadu dan tidak mengetahui bentuk bantuan dan perlindungan yang disediakan. Ini menyebabkan mereka ketakutan dan terus menjadi mangsa keganasan rumah tangga sehingga keadaan menjadi lebih meruncing. Ketiga, kita juga seharusnya mempertingkatkan pengetahuan dan kesediaan sebelum memasuki alam rumah tangga supaya tidak terjebak sebagai mangsa atau menjadi suspek dalam kes keganasan rumah tangga. Sama ada kita menjadi mangsa mahupun pemangsa ianya adalah sesuatu yang dapat dielakkan jika kita berusaha membantu diri dan orang yang kita sayang. Ilmu pengetahuan dan sikap membenarkan individu yang berkelayakkan membantu diri dikala terdapatnya masalah adalah tunggak utama kepada penyelesaian.
Dalam undang-undang di Malaysia, Perkara ini dititik beratkan dan ianya termaktub dalam Akta Keganasan Rumahtangga 1994 (Akta 521) (AKRT) dan terdapat pindaan bagi memfokuskan lagi dan menambah baik lagi akta ini dalam Garis Panduan Pengendalian Kes Keganasan Rumahtangga


Membaca garis panduan ini untuk mengetahu hak dan peranan pelbagai pihak yang boleh membantu adalah satu ilmu yang perlu ada untuk setiap orang. Selain itu, terdapat beberapa peruntukan di bawah enakmen undang-undang islam yang berkaitan dengan isu AKRT ini. (saya tidak memberi maklumat berkaitan kerana setiap negeri tertakluk kepada enakmen undang-undang islam negeri itu sendiri). Selain itu, terdapat juga peruntukan di bawah perspektif undang-undang awam antaranya :
Kanun Keseksaan 
Kebanyakan keganasan dalam rumahtangga sama ada dilakukan dalam rumah atau diluar rumah adalah kesalahan yang boleh dihukum dibawah Kanun Keseksaan. Bab 16, Darihal kesalahan-kesalahan mengenai tubuh manusia, termasuk mematikan orang dibawah seksyen 291 Kanun Keseksaan. Seksyen 300 Kanun Keseksaan iaitu membunuh orang. Seksyen 319 iaitu mendatangkan kecederaan. Seksyen 320 iaitu mendatangkan kecederaan parah, Seksyen 350 berkenaan dengan kekerasan Jenayah, Seksyen 375 kesalahan berhubung dengan seks termasuk rogol, seksyen 377A melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabi’I.
seksyen 377D iaitu kesalahan mengenai melanggar kesopanan, seksyen 377 E iaitu meransang seseorang kanak-kanak untuk melakukan suatu perbuatan kelucahan melampau, Seksyen 312 kesalahan mengenai anak termasuk menyebabkan keguguran, seksyen 316 iaitu menyebabkan kematian  anak yang belum lahir yang telah bersifat, seksyen 318 mendedah dan membuang kanak-kanak, seksyen 319 menyembunyikan kelahiran dengan jelas membuang mayat dengan sulit, seksyen 37A iaitu kesalahan terhadap harta termasuk mencuri, seksyen 383 iaitu pemerasan, seksyen 420 melakukan penipuan
Kanun Acara Jenayah (Berkaitan IPO)
Akta perlindungan kanak-kanak 1991 (Akta 468)
Akta perlindungan Wanita dan gadis 1973 (Akta 106)
Akta Perempuan bersuami 1957 (Akta 50)

Moga perkongsian yang sedikit ini memberi manfaat buat kita bersama. Namun begitu, jika pasangan, mangsa mahupun pemangsa masih boleh membetulkan kesilipan dan kesalahan serta yakin boleh menjadi lebih baik hasil dari perbincangan dan bantuan pihak ke tiga, klien disaran berjumpa dengan pakar psikologi mahupun kaunselor sekiranya belum terlambat dan ianya dipersetujui kedua-dua pihak serta tidak memudaratkan mana-mana pihak demi kepentingan bersama. Semoga bahtera yang dilayarkan di kemudi bersama-sama dengan bahagia dan ketahuilah setiap masalah InsyaAllah ada jalan penyelesaiannya andai kita sendiri mahu mencari yang terbaik buat yang tersayang. Perceraian dan penggunaan akta serta undang-undang adalah jalan terakhir perlu digunakan andai masih ada sinar kebahagiaan. 

Keluarga bahagia pilihan kita...bahagia atau tidak diri dan keluarga kita...kita yang tentukannya..


.....SALAM SAYANG.....




Tuesday, June 7, 2016

"RAHSIA HUBUNGAN INTERPERSONAL YANG BERKESAN"



CUT APPLE AR




to be...


"RAHSIA HUBUNGAN INTERPERSONAL YANG BERKESAN"

suka sekali saya berkongsi akan hal ini...kerana saya mengamalkannya dan saya rasa bahagia dengan persahabatan-persahabatan yang terbina di sekeliling saya sekarang...
pada saya hanya insan yang terpilih sahaja yang akan menjadi sahabat kita dengan izin Allah dan kita akan bersahabat kerana Allah dan hanya ke jalan Allah....

selepas saya mengamalkan cara ini saya tidak lagi memikirkan akan perkara-perkara yang tidak rasional...dalam perhubungan...pada saya hubungan itu sendiri adalah satu anugerah..

pendekatannya mudah sekali untuk diamalkan, anda pernah atau tidak mendengar akan istilah 
"CUT APPLE AR" 
jika sudah...ianya adalah sesuatu yang bagus dan jom kita amalkan... manakala yang belum dan baru pertama kali mendengarnya jom kita hayati.. dan cuba sekali...dua kali...malah berkali-kali pun tidak mengapa. Bila ianya sudah sebati...anda pasti dapat merasakan kesannya dalam perhubungan dengan orang lain... jom kita tinjau...

CUT APPLE AR

C - Caring
U - Understanding
T - Trusting

A - Acceptance
P - Patience
P - Positive Thinking
L - Listening
E - Empathy

A - Assertive
R - Rasional


C = CARING

menumpukan perhatian kepada idea dan perasaan rakan.
menunjukkan sifat penyayang dan mengambil berat. Bersifat
terbuka dan sedia mendengar .

U = UNDERSTANDING

mudah memahami pendirian orang lain
senang bertolak ansur jika perkara tidak menyalahi etika.

T = TRUSTING

mempercayai yang sepatutnya dipercayai

A = ACCEPTANCE

menghormati orang lain kerana mereka mempunyai harga diri.
elak daripada melabel atau menghukum
menerima orang lain seadanya

P = PATIENCE

kesabaran menghadapi tingkahlaku manusia.
berupaya mengawal emosi dan situasi. (yang ini susah sikit kenabanyak latihan hahahah bagi saya la)

P = POSITIVE THINKING

keupayaan seseorang melihat sesuatu dari perspektif positif
sesuatu perkara yang tuhan lakukan mempunyai hikmatnya
sentiasa melihat kelebihan disebalik sesuatu perkara yang dianggap
negatif. saya hari ini menuju kepada apa yang saya fikirkan.( Yang ini pun agak sukar sedikit tetapi bila kita belajar dan cuba...dan terus mencuba insyaAllah..sebab saya dah mampu melakukannya)

L = LISTENING

seorang pendengar yang baik dapat memahami maklumat yang
disampaikan dengan baik
pendengar yang baik bukan pendengar yang pasif.

E = EMPATHY

keupayaan seseorang melihat sesuatu dari perspektif orang lain.
berupaya merasakan apa orang lain rasakan.
mempunyai tahap empati yang tinggi terhadap rakannya.

A = ASSERTIVE

bersifat assertif bukan pasif dan bukan agresif.
boleh menyatakan perasaan anda secara berterus terang.
menyatakan hak anda dan menghormati hak orang lain.
orang lain senang berkomunikasi dengan anda.

A = RATIONAL

melihat dan memikirkan sesuatu dari sudut rasional, dalam hal ini
diri perlu dalam keadaan sedar. elakkan nilai diri daripada
mengatasi nilai profesional. gunakan pendekatan pmi, opv, pac, fip, c&s.

PMI - Fahami apakah ada aspek positive, minus and interesting sesuatu perkara itu.
OPV - Selami apa pula other point of view terhadap sesuatu perkara itu.
PAC - Lihat pula apakah ada possiblilities, Alternatives and Choices yang ada.
FIP - Sedar apa yang first important priorities pada masa sekarang.
C&S - Jangan lupa fikirkan juga aspek causes and consequenses perkara itu berlaku.

* so selamat mencuba dan mengamalkannya...