Wednesday, October 31, 2018

MEROYAN


Assalamualaikum dan selamat sejahtera


Maaf pada yang menunggu tentang artikel ini....lama dah nak siapkan namun banyak kekangan yang melanda dan kesihatan tidak mengizinkan untuk menyudahkan penulisan ini. Jadi ini hasilnya harap dapat memberi info dfan kefahaman kepada yang mengutarakan untuk penerangan tentang artikel "MEROYAN" ini.

Apakah sebenarnya "MEROYAN" ini.....

Meroyan atau dikenali sebagai Postpartum depression (PPD) atau postnatal depression (PND) adalah sejenis kemurungan selepas bersalin atau bahasa mudahnya keresahan (anxiety). Sejak kebelakangan ini kita banyak mendengar berita-berita berkaitan dengan ibu mengelar, membunuh malah ada yang melakukan penderaan kepada anak disebabkan tekanan dan ada dorongan daripada faktor-faktor lain seperti mendengar suara-suara menyeru mereka berbuat demikian. Hal ini jangan dikaitan dengan kurangnya keimanan atau kurang didikan agama kerana ia adalah sejenis penyakit dan kes terbaru yang berlaku di Kelantan adalah selepas seorang ibu selesai solat dan melakukan rutin keagamaannya. Begitu juga dengan kes yang sama berlaku di Kota Belud, Sabah baru-baru ini.

Menurut Dr. Zul Azlin Razali, seorang Psikiatri daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), postpartum depression adalah satu keadaan di mana si ibu mengalami kemurungan atau depresi selepas melahirkan anak. Proses kelahiran, sama ada normal atau secara pembedahan merupakan satu proses yang bukan mudah dan hanya wanita sahaja yang mengetahuinya. Ia menuntut banyak kesabaran, tenaga, dan pengorbanan daripada si ibu. Sakitnya pula tidak mampu diluah atau diceritakan. Maka, tidak hairanlah jika ada para ibu yang trauma sebaik sahaja melalui proses ini, terutamanya bagi ibu yang pertama kali melahirkan anak.

Terdapat Tiga Jenis Masalah Kemurungan Selepas Bersalin
Bukanlah semua kemurungan itu dikategorikan sebagai PPD. Untuk kemurungan biasa boleh rujuk artikel saya sebelum ini iatu KEMURUNGAN (MAJOR DEPRESSION) dan KEMURUNGAN SATU PERSOALAN.
Ada tiga jenis yang berbeza, biasanya dikategorikan mengikut keseriusan sesuatu kemurungan itu.




1.     Postpartum Blues – Perasaan ‘Blues’ Selepas Bersalin
Postpartum Blues adalah tingkat pertama dalam kemurungan selepas bersalin. Ianya tidaklah terlalu serius. Mereka yang mengalami masalah ini biasanya mengalami tekanan emosi yang sederhana.

Bahkan, ia adalah perkara yang normal dan mungkin tidak perlu dirisaukan sangat.

2.    Postpartum Depression – Depresi Selepas Bersalin
Istilah yang biasa kita dengar, postpartum depression, sebenarnya adalah tingkat kedua dalam masalah kemurungan selepas bersalin. Ia merupakan kesinambungan daripada postpartum blues yang tidak dikawal dengan baik.

PPD selalunya disamakan dengan ‘meroyan’. Ini adalah perkataan biasa yang orang-orang kita selalu sebutkan. Kalau anda hendak tahu, mengikut kajian saintifik, PPD atau meroyan selalunya terjadi disebabkan oleh perubahan hormon dan kadang kala jika terdapat sejarah dalam keluarga pernah mengalami situasi ini maka besarlah peluang untuk individu itu terjebak dan mengalami masalah meroyan ini.

Sememangnya, semua para ibu akan mengalami pertukaran hormon di dalam badan mereka, sama ada sedar atau tidak. Hormon-hormon ini kemudiannya akan mempengaruhi keadaan fizikal dan emosi seseorang itu.

3.     Postpartum Psychosis – Keadaan Tekanan Mental Selepas Bersalin
Ini adalah fenomena yang melanda Negara kita sekarang, Terdapat beberapa kes yang saya kongsikan di ats di mana seorang ibu yang baru bersalin dan masih dalam proses berpantang telah mengelar leher anaknya sendiri. Perbuatan ganas dan di luar kawalan ini adalah satu contoh daripada kesan serius kemurungan tahap ketiga, dipanggil postpartum psychosis.

Ia adalah tahap meroyan yang serius dan selalunya menunjukkan simptom yang lebih teruk daripada dua jenis di atas.



Terdapat beberapa simptom jika seseorang mengalami meroyan atau kemurungan ini.

Simptom-simptom kecil yang boleh dikesan awal :



#1 ‘Brain Fog’
Keadaan di mana anda menjadi cepat pelupa. Ramai yang selalu bergurau dengan menggunakan ayat ‘wayar terputus semasa bersalin‘. Tetapi sebenarnya ia harus dipandang berat!

Kajian menunjukan yang kemurungan boleh memberi kesan terhadap memori seseorang.

Jika anda rasa sering kali terlupa sesuatu, anda mungkin mempunyai masalah memori dan ia mungkin ada kaitan dengan kemurungan.

#2 Berfikiran Negatif
Sering fikir untuk melakukan perkara negatif jika terjadi sesuatu? Contoh rasa ingin mencederakan anak anda jika dia menangis terlalu lama atau ingin melarikan diri dari semua orang?

Ini adalah contoh yang anda mungkin mengalami kemurungan selepas bersalin. Ia bermakna anda memerlukan bantuan. Tak kiralah dari segi sokongan keluarga atau bantuan profesional.

#3 Marah atau Baran
Anda perasan yang anda sering kali marah atau cepat sangat naik angin? Anda selalu mengamuk dengan pasangan atau rakan sekerja walaupun atas perkara kecil? Sentiasa rasa sakit hati dengan orang lain? Dan kadang kala melepaskan kemarahan kepada anak walaupun rasanya perkara itu tidak perlu.

Sebenarnya, mudah marah adalah salah satu tanda kemurungan. Kemurungan akan membuatkan anda terlalu memendam rasa. Kemudian semua perasaan itu meletus menjadi kemarahan.

#4 Rasa Kosong
Kosong di sini bermakna, hati anda seperti kosong. Tidak mampu betul-betul merasai apa-apa perasaan. Sama ada perasaan empati mahupun emosi. Seperti robot yang hanya bertindak tanpa perasaan dan emosi. Seperti anda terputus hubungan dengan orang sekeliling yang buat anda rasa sesuatu, tidak lagi rasa teruja atau terinspirasi dengan perkara lain. Tidak mampu rasa apa-apa juga adalah tanda kemurungan selepas bersalin.

#5 Insomnia
Sukar tidur malam walaupun badan sudah lesu? Atau sebaliknya? Terlalu banyak tidur namun kelesuan itu tidak hilang-hilang. Sebenarnya, mental anda yang sedang penat, serta anda memerlukan bantuan. Mengalami kemurungan bukanlah sesuatu yang patut anda malu serta biarkan saja. Anda harus mendapatkan bantuan. Mengambil berat tentang kesihatan fizikal, mental malah emosi kita kerana anak-anak memerlukan ibu bapa untuk menjaga mereka.

Apabila perkara ini telah melarat dan menjadi lebih serius, terdapat beberapa simpton atau amaran lain yang perlu di ambil berat bila tiba-tiba seseorang ibu merasakan beberapa perkara ini tanpa sebab tertentu :

Berasa sayu
Selalu bersedih
Berasa letih
Perasaan bimbang
Rasa tidak senang hati

Lagi kritikal apabila simptom-simpton ini terjadi dan ini adalah amaran untuk mendapatkan rawatan serta bantuan segera antaranya adalah :

Bercakap tentang membunuh diri
Ingin mencederakan bayi
Memikir yang bukan-bukan
Mendengar bisikan-bisikan halus
Berhalusinasi dan bercakap sorang-sorang.

No comments: