Wednesday, June 15, 2016

KEMURUNGAN (MAJOR DEPRESSION)

ASSALAMMUALAIKUM DAN SALAM RAMADHAN...

Artikel kali ini saya ingin berkongsi tentang salah satu penyakit yang biasanya melanda kita tanpa kita sedari dan ada yang berpeluang menyedarinya dikala sakit ini masih diperingkat awal dan mendapatkan rawatan. Namun ada kalanya ianya dikesan lewat dan ini yang mengundang bahaya kepada diri sendiri mahupun persekitaran.
Kemurungan ini selalunya berkaitan dengan emosi…Allah telah menganugerahkan kita berbagai emosi…gembira, susah hati, resah, tenang, cinta dan pelbagai lagi perasaan yang mewarnai hidup kita ini . Perasaan susah hati , gundah gulana, murung merupakan contoh emosi yang menggambarkan kesedihan.

Ia mempunyai spektrum daripada perasaan sedih yang tidak ketara kepada kesedihan yang melampau. Perasaan kita juga berubah-ubah dan berterusan dalam tempoh-tempoh tertentu. Si isteri mungkin merasa sedih selama dua atau tiga jam jika dimarahi suami dan kemudian gembira semula setelah keluar membeli-belah . Si isteri juga boleh merasa sedih sehingga berbulan-bulan jika kematian suami. Persoalannya, adakah semua perasaan sedih itu normal?. Perlukah kita berjumpa doktor hanya kerana kita merasa sedih?.




Kemurungan (Major Depression)

Kemurungan atau depression adalah satu istilah perubatan yang menggambarkan perubahan emosi yang keterlaluan. Ia bukan lagi emosi normal tetapi suatu penyakit yang perlu dirawat.

Penyakit kemurungan merupakan penyakit perubatan yang melibatkan perasaan sedih atau murung. Namun berbeza daripada perasaan sedih yang mungkin dirasakan apabila kita kehilangan telefon bimbit contohnya, bagi mereka yang mengalami masalah ini, perasaan sedih atau murung ini berpanjangan. Pada masa yang sama, mereka juga seringkali mempunyai perasaan terlalu rendah diri dan sering merasakan diri mereka bersalah dan berdosa dalam setiap perkara yang berlaku dalam kehidupan mereka. Perasaan murung ini hadir dalam diri mereka pada setiap waktu sepanjang hari dan boleh berlarutan sehingga berminggu-minggu. Ini berbeza dengan perasaan sedih biasa yang kita alami apabila sesuatu musibah berlaku yang akan hilang dalam masa yang singkat setelah musibah itu berlalu.
Diagnosis penyakit ini melibatkan temubual ataupun menggunakan ujian psikologi yang berkaitan antara pakar dengan mereka yang dirasakan menghidapi penyakit kemurungan. Diagnosis ini berpandukan kriteria yang ditetapkan oleh World Health Organization (WHO) dan American Psychiatric Association (APA).

Kenapa kemurungan perlu dirawat?

Kemurungan perlu dirawat kerana ia merupakan penyakit yang boleh merosakkan diri kita melalui pelbagai aspek. Penyakit kemurungan menyebabkan kita tidak dapat berfungsi dengan baik. Pesakit yang mengalami kemurungan tiada tenaga, tiada motivasi, sakit-sakit badan dan tidak bermaya untuk bekerja seperti biasa. Mereka akan ponteng bekerja, prestasi merosot dan menimbulkan masalah dengan majikan. Keluarga pesakit juga mendapat efek negatif kerana pesakit tidak lagi berfungsi sebagai suami , isteri atau ibubapa yang bertanggungjawab lagi Mereka tidak menjalankan tugas seharian dengan baik, hilang pertimbangan dan tiada kawalan diri.

Di peringkat yang teruk, pesakit mempunyai perasaan bersalah, tidak berguna dan akhirnya ingin membunuh diri. Psikosis juga boleh berlaku jika kemurungan tidak dirawat dengan segera.


Apakah tanda-tanda kemurungan?


1. Perasaan murung atau sering marah-marah hampir sepanjang hari dan hampir setiap hari dalam tempoh dua minggu. Perasaan ini dilaporkan oleh pesakit secara subjektif seperti perasaan rendah diri ataupun daripada pengamatan orang luar contohnya selalu menangis.
2. Tidak bersemangat atau tidak berminat melakukan aktiviti sosial yang biasa dilakukan hampir setiap hari. Contohnya tidak berminat untuk bersukan lagi atau berjumpa dengan sanak-saudara.
3. Berat badan merosot (~5%) daripada asal dalam waktu yang singkat atau kurang selera makan.
4. Corak tidur berubah, sama ada kurang tidur (insomnia) atau terlebih tidur (hypersomnia).
5. Perubahan dalam melakukan aktiviti seharian, sama ada terlebih aktif atau kurang aktif.
6. Selalu letih dan kurang tenaga dalam melakukan aktiviti harian.
7. Perasaan bersalah yang tidak setimpal dengan  sesuatu kesalahan perbuatan  atau merasakan diri tidak berguna
8. Tidak mampu memberikan konsentrasi atau  berfikir secara rasional. Pesakit juga merasakan susah untuk membuat keputusan dalam kehidupan hariannya.
9. Berfikir tentang  keinginan untuk mati atau bunuh diri dengan kerap, atau mempunyai pelan masa hadapan untuk membunuh diri.

Terdapat juga pesakit yang mempunyai kemurungan atipikal. Kemurungan Atipikal (Atypical depression) adalah kemurungan yang berlaku dengan tanda-tanda yang luar daripada biasa seperti selera makan yang bertambah (pesakit yang terlalu stress makan banyak untuk hilangkan stress), berat badan akan bertambah (kerana makan dengan banyak) dan mereka juga banyak tidur. Ini berbeza daripada kemurungan biasa di mana pesakit tiada selera makan, berat badan menurun dan susah untuk tidur.
Bagi kanak-kanak dan orang tua pula, mereka mungkin mempunyai tanda-tanda kemurungan yang tidak ketara dan sukar dikesan kerana mereka mempunyai tanda-tanda yang berbeza yang dipanggil masked depression. Bagi kanak-kanak dan remaja kemurungan sukar dikesan kerana mereka mungkin mempunyai tanda-tanda seperti masalah tingkahlaku , sakit-sakit perut, histeria sebagai presentasi kemurungan. Bagi orang tua pula, kebanyakan mereka mempunyai masalah-masalah seperti gastritis, sakit kepala, sakit sendi, mudah lupa dan pseudodementia sebagai tanda kemurungan.

Siapakah yang berisiko untuk mendapat kemurungan?

Jantina: Kemurungan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tetapi lebih ramai wanita mengalami kemurungan berbanding lelaki . 15 - 25% kaum wanita boleh mendapat penyakit ini.

Umur: Purata pesakit berumur 40 tahun. 50% daripada mereka yang mengalami kemurungan berumur antara 20-50 tahun. Kemurungan juga boleh berlaku di kalangan kanak-kanak dan orang tua.

Taraf perkahwinan: Kemurungan lebih kerap berlaku di kalangan individu yang tiada pasangan hidup seperti duda, janda dan balu berbanding individu yang berkahwin.

Keluarga : Kemurungan adalah penyakit turun temurun. Jika anda mempunyai keluarga (seperti ibu, bapa atau adik-beradik) yang mengalami penyakit ini, anda 2-3 kali lebih daripada orang lain untuk mendapat kemurungan

Apakah punca penyakit kemurungan?

Terdapat beberapa faktor yang  menyumbang kepada seseorang itu untuk mengalami penyakit kemurungan. Salah satunya ialah genetik atau keturunan. Individu yang mempunyai ahli keluarga yang pernah menghidapi penyakit kemurungan, mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidapi penyakit ini apabila dibandingkan dengan mereka yang tidak. Selain itu, individu dengan personaliti yang selalu gelisah atau tidak ceria adalah lebih cenderung untuk mendapat penyakit ini.

Mereka yang pernah mengalami peristiwa hidup yang memberi impak pada zaman kanak-kanak juga mempunyai risiko yang lebih tinggi. Contohnya trauma psikologi di zaman kanak-kanak atau trauma fizikal ke atas otak kerana  kecederaan atau penyalahgunaan dadah. Kemalangan yang berlaku pada zaman kanak- kanak memberi kesan yang lebih besar dan membawa kepada risiko yang lebih tinggi untuk penyakit kemurungan bagi seseorang individu dalam kehidupan dewasanya. Bagi mereka yang menggunakan dadah, risiko untuk menghidapi penyakit kemurungan juga turut meningkat berbanding dengan mereka yang tidak mengambil dadah. Penggunaan dadah di sini termasuklah menghisap rokok.
Sesetengah sejarah hidup yang negatif atau yang menyebabkan tekanan jiwa boleh menjadikan seseorang individu itu lebih terdedah untuk menghidapi penyakit kemurungan. Oleh itu, mereka ini haruslah lebih berwaspada dan mendapatkan pertolongan secepat mungkin.

Di antara faktor psikososial kemurungan:
  • Masalah sosial seperti menjadi mangsa penganiayaan , penderaan fizikal atau seksual, kematian orang tersayang, putus cinta, kesempitan wang, gagal dalam pekerjaan, pelajaran dan lain-lain lagi. Masalah sosial ini mungkin telah lama dialami tetapi masih menjadi memori kepada pesakit dan boleh mencetus kemurungan.
  • Cara menyelesaikan masalah: Kemurungan lebih mudah berlaku di kalangan individu yang tidak tahu cara yang baik untuk menyelesaikan masalah. Individu yang mempunyai Coping Strategy dan problem solving technique yang betul dan produktif lebih mudah menangani masalah dan kurang risiko untuk murung.
  • Personaliti. Tiada satu personaliti tertentu yang menyebabkan individu mendapat kemurungan, tetapi terdapat individu yang mempunyai personaliti tertentu seperti terlalu obsessif ( terlalu teliti, bercita-cita tinggi dll), dependent ( bergantung kepada orang lain dan non assertive ( tidak mampu menegakkan hak sendiri) yang mudah mendapat kemurungan.
Antara faktor lain yang menyebabkan penyakit kemurungan ialah ketidakseimbangan bahan kimia atau hormon di dalam otak. Hormon utama yang sering dikaitkan ialah serotonin. Antara hormon lain yang turut terlibat ialah norepinephrine dan dopamine. Bahan-bahan ini diperlukan untuk otak kita berfungsi secara normal dalam mengawal perasaan kita. Oleh itu, kegagalan dalam penghasilan atau peningkatan dalam pemusnahan bahan-bahan ini akan menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan bahan kimia ini dan seterusnya menjurus seseorang itu menghidap  penyakit kemurungan .

Diantara faktor biologi kemurungan:
  • Ketidakseimbangan neurotransmitter (seperti serotonin, noradrenalin, dopamin) dan reseptor ( seperti reseptor 5 HT2, ) yang penting dalan fungsi otak dan saraf
  • Ketidakseimbangan regulasi hormon seperti hormon kortisol dan tiroid
  • Patologi di otak seperti dilatasi ventrikel, patologi limbik sistem, prefrontal dan basal ganglia
  • Faktor genetik
  • Jangkitan virus di awal kelahiran atau di peringkat janin 
Bolehkah kita merawat penyakit kemurungan?

Rawatan kemurungan adalah menyeluruh berdasarkan prinsip biopsikososial dan spiritual
Rawatan juga bergantung kepada keterukan (severity) penyakit ini.

Pesakit yang mengalami kemurungan serius

Pesakit yang mendapat kemurungan serius perlu dimasukkan ke hospital . Diantara tanda-tandanya:
  • merbahaya kepada diri sendiri ( cth: perasaan atau cubaan bunuh diri, tidak mahu makan dan minum sehingga kesihatan terjejas)
  • merbahaya kepada orang lain ( cth: perasaan benci keterlaluan sehingga berniat mencederakan atau membunuh orang lain)
  • mempunyai tanda-tanda psikosis yang keterlaluan
Penyakit kemurungan perlu dikenalpasti dan diberikan diagnosis sebelum rawatan dapat diberikan. Individu yang mempunyai penyakit ini, bergantung kepada tahap keterukannya, boleh memilih di antara “talking therapy” (psikoterapi)  atau penggunaan ubat. Selalunya untuk kes sederhana atau berat, kombinasi terapi boleh digunakan untuk merawat pesakit dan kajian telah menunjukkan keputusan yang memberangsangkan apabila kombinasi rawatan digunakan.
Rawatan menggunakan ubat-ubatan adalah efektif dan selamat. Walaupun setiap ubat mempunyai kesan sampingan, sekiranya tidak memberikan rawatan untuk penyakit kemurungan adalah lebih bahaya daripada kesan sampingan tersebut. Juga perlu dijelaskan bahawa kesan sampingan ubat-ubat ini selalunya kecil dan jutaan pesakit di seluruh dunia yang menerima rawatan ini dapat menerima kesan sampingannya.

Ubat-ubatan:
  • Ubat antidepressant perlu untuk menangani kemurungan dan di beri sehingga pesakit benar-benar sembuh dan boleh berfungsi semula dengan baik
  • Ubat antianxiety perlu untuk menangani keresahan tetapi diberi untuk tempoh yang singkat
  • Ubat sleeping pill di beri jika perlu untuk memudahkan pesakit tidur dan rehat dengan cukup tetapi untuk tempoh yang singkat.
Rawatan Psikososial :
  • Berbincang cara penyelesaian masalah ( problem solving technique)
  • Berbincang cara meluahkan dan menangani kemarahan ( anger management)
  • Berbincang cara terbaik menangani stress ( stress management & coping skill)
  • Mendapat penjelasan tentang penyakit, rawatan dan komplikasi (Psychoeducation)
  • Perbincangan tentang menyelesaikan masalah kewangan dan masalah sosial lain melalui rujukan kepada agensi berkenaan
Psikoterapi ( RUJUK PSIKOTERAPI)- mengikut kesesuaian (* yang sering saya gunakan)
  • Cognitive Behavioural Therapy (CBT) ~ Untuk membaik pulih aspek kognitif dan tingkahlaku.
  • Terapi Tingkah Laku ~ Menggunakan thought diary – carta harian kognitif
  • Psikoterapi interpersonal
~ Memperbaiki cara komunikasi, mengenalpasti konflik peranan dan meningkatkan       kemahiran bersosial.

  • ·         Terapi Alternatif

Ø  Emotional Freedom Technique (EFT)/Spiritual Emotional Freedom Technique (SEFT)
Ø  Teknik Relaksasi
Ø  Latihan Relaksasi Otot (PMR)
Ø  Urutan
Ø  Aromaterapi
Ø  Mindfulness Technique

Selain itu terdapat beberapa perkara penting yang harus di titik beratkan dalam proses rawatan ini iatu :

  • Rehat & Sokongan
  • Pemakanan
  • Senaman

Pesakit yang mengalami kemurungan ringan dan mempunyai sokongan keluarga yang baik boleh memilih untuk bantuan psikososial dan psikoterapi sahaja.

Rujukan : KESIHATAN MENTAL ~ Manual komprehensif bagi pengamal psikologi oleh JPA



5 comments:

Hana Hadi said...

Kadang2 kita xsedar kita dalam situasi kemurungan. Bila baca article ni baru tahu..

ZUHANIF said...

Ye hana hadi..kadang-kadang kita tak sedar ianya telah ada dlm diri..terima kasih sudi jengah dan baca artikel saya...:) dah jengok blog awk meriah sungguh..:)

siti hazreen said...

wah, artikel sangat ilmiah...dah lama tak baca benda2 macam ni ;)

ZUHANIF said...

Rin...aku update sbb kes2 melibatkan kerja so untuk tatapan masyarakat sekitar juga :) tq rin 4 ur support. Rin bila nak update pasal art terapi ismalik huhuhu nak juga sikit ilmu :P

Anonymous said...

hi.. emm nak tanye .. kemurungan tu boleh berlaku bila-bila masa je ke walaupun dah makan ubat? asyik dia orang je yang stress .. bukan ke kalau macam tu boleh mendatangkan stress kat org lain gak.. so, kita sbagai org terdekat tindakan ap yang perlu kita buat?? sakit hati gak kadang-kadang kann.. lagi satu diaorang tu buat2 je ke mcm tu ? padahal satu hari tu bukan ad apa2 pon yg berlaku