Sunday, February 26, 2017

KEMURUNGAN SATU PERSOALAN.....

Tergerak mengeluarkan artikel khas berkaitan dengan persoalan yang pembaca blog saya utarakan supaya lebih jelas dan membantu pemahaman kita dengan lebih baik berkaitan gejala "KEMURUNGAN".





Kemurungan boleh berlaku bila-bila masa terutama sekali bila seseorang itu telah di dignosis memang mengidap kemurungan. Kadang kala walaupun sudah mengambil ubat namun apabila tahap kemurungan yang ada meningkat kerana sama ada tidak dirawat atau tidak mendapat sokongan untuk pemulihan makan tahapnya akan meningkat dan ubat yang sedia ada sudah tidak mampu untuk mengawal mahupun menenangkan mereka.

Kemurungan sering disalah ertikan sebagai bersedih. Maka, mereka yang mengalami kemurungan disalah anggap dengan konotasi yang negatif seperti tidak pandai mengurus emosi, lemah dan mudah putus asa. Ini bertentangan sama sekali dengan hakikat sebenar kemurungan. Ia merupakan suatu penyakit yang mempunyai asas biologi yang terbukti jelas. Perubahan emosi seperti kemurungan, hilang semangat, putus asa merupakan hanya sebahagian gejala-gejala yang sebenarnya merupakan manifestasi perubahan kimia dalam otak, perubahan hormon dan pelbagai perubahan fizikal yang berlaku pada tubuh badan.
Kemurungan menyebabkan gangguan fikiran, gangguan fungsi tubuh seperti tidur, selera makan, tenaga, seksual dan pada keadaan yang teruk boleh menyebabkan hilang pertimbangan rasional.
Kajian terkini oleh Universiti Malaya menunjukkan kadar kemurungan di kalangan rakyat Malaysia ialah di antara 8 hingga 12 peratus (Ng, 2014). Di antara mereka yang berisiko tinggi ialah wanita dari kalangan sosioekonomi yang mencabar serta mereka yang mempunyai masalah kesihatan fizikal yang lain.
Sementara itu, kajian oleh Kementerian Sains dan Teknologi Malaysia pada tahun 2014 mengenal pasti beberapa risiko lain seperti kerisauan, masalah di tempat kerja yang serius, masalah keluarga, keganasan rumahtangga, personaliti yang kurang keyakinan diri, masalah kewangan dan penyakit kronik (Maideen, 2014).
Kemurungan yang tidak dirawat bukan sekadar memberi kesan kepada individu tetapi turut memberi kesan kepada ahli keluarga, kerjaya dan masa depan. Sebagai contoh, ibu yang mengalami gangguan kemurungan pada fasa selepas bersalin akan memberi impak kepada bayi dan mengakibatkan bayi terdedah kepada risiko keselamatan serta risiko mendapat gangguan mental di masa hadapan.
Bagi ahli keluarga atau masyarakat yang tidak memahami sepenuhnya berkaitan dengan kemurungan ini dan cara membantu atau memberi sokongan pemulihan pada mereka, sememangnya amat sukar dan kadang kala ianya boleh mencetuskan stress pada orang terdekat yang menguruskan mereka. Namun bersabarlah terhadap apa yang dihadapi kerana jadinya perkara bergini keatasnya adalah dugaan bagi kehidupannya. Manakala madirnya mereka di dalam kehidupan kita adalah ujian untuk kita lebih detak dengan Allah serta memahami kehidupan dan manusia itu sendiri.
Biarpun bukan semua kes kemurungan bermula dengan punca stress yang spesifik, namun menangani stress dan konflik dari awal merupakan langkah pencegahan yang efektif. Setiap individu harus mengenalpasti punca stress masing-masing dan mengenalpasti kaedah terbaik menanganinya.
Adakah pegangan agama meberi sebarang impak kepada kemurungan? Kajian oleh Miller et al (2010) selama 10 tahun mendapati pegangan agama merupakan faktor pelindung yang kuat bagi mengelakkan seseorang mengalami kemurungan. Kajian oleh Zuraida et al (2007) dan Abu Talib (2015) juga mendapati pegangan agama sebagai antara faktor pelindung kepada keinginan membunuh diri.
Kajian-kajian ini tidak bermaksud mereka yang mengalami kemurungan adalah kerana kurangnya pegangan agama. Namun titik penting yang perlu difahami ialah memiliki kekuatan rohani dan spiritual, dalam kontek agama merupakan asas penting dalam meningkatkan daya tahan individu dari kemurungan.
Ini lebih relevan terutama dalam kes yang melibatkan punca stress yang spesifik seperti masalah peribadi, percintaan, rumahtangga dan kewangan. Dalam hal-hal seperti ini, penyelesaian dari perspektif agama perlu bagi memastikan seseorang tidak mudah putus asa dan melihat krisis yang dialamai dalam perspektif buruk semata-mata.
Perasaan mahupun emosi orang kemurungan bukan dibuat-buat kerana kadang kala mereka sendiri tidak sedar tindakan diluar kawalan mereka. (contoh seperti kes ibu kelar anak umur 2 bulan di kelantan baru-baru ini) Mereka hanya akan sedar selepas tingkah laku itu dilakukan dan apabila emosi mereka reda kepada sedia kala. Kadang - kala tidak perlukan perkara atau peristiwa besar pun untuk mencetuskan emosi tidak terkawal mereka. Kadang kala hanya dengan pandangan ataupun hanya dengan pemikiran mereka sendiri yang akan mencetuskan perbuatan mahupun reaksi tidak terkawal. 
Sebagai orang yang berdekatan dan rapat dengan mangsa apa yang boleh dilakukan adalah terus menyokong dan memberi semangat untuk mereka pulih. Sentiasa berfikiran Positif dan mempositifkan pemikiran mereka walaupun kadang kala ianya melibatkan hal-hal yang tidak masuk di akal. 
Terdapat beberapa cara mengatasi kemurungan mahupun membantu orang yang kemurungan.
1) Rehat dan sokong
sama seperti penyakit lain juga, kemurungan memerlukan masa rehat dan penting ahli keluarga memahami penyakit ini dan peranan masing-masing dalam memudahkan pemulihan. Sokongan rakan sebaya atau berbual dengan mereka yang pernah mengalami penyakit yang sama boleh menyemai harapan dan memberi pemahaman yang lebih baik.
2) Pemakanan
Pemakanan boleh membawa perubahan besar kepada emosi. Antara perkara-perkara penting dalam pemakanan ialah :
  • Hadkan pengambilan lemak, gula dan alkohol
  • lebihkan buah-buahan dan sayuran
  • minum banyak air
  • kurangkan pengambilan snek dan minuman ringan
  • elak makanan bergoreng dan berlemak tinggi

 3) Senaman
Senaman membantu untuk mengeluarkan hormon endorfin. Salah satu fungsi endorfin ialah mengurangkan sakit yang mungkin dialami oleh badan dan meningkatkan keceriaan.
Apabila perhatian tertumpu pada senaman, kebimbangan harian akan dilupakan. Melepaskan minda dari belengu memberikan kerehatan dan membawa perubahan besar pada minda. Berjoging atau berjalan-jalan ditaman juga amat baik kerana memberi peluang mensyukuri nikmat Allah, menengkan fikiran serta memberi peluang badan mengambil oksigen yang lebih bersih dan baik.
4) Terapi Altenatif
  • Latihan pernafasan dan relaksasi
  • latihan mengawal fikiran yang bercelaru

5) Ubat anti depressant perlu diambil dalam jangka masa yang lama. Ia boleh bertindak sebagai anti anxiety dan ia tidak menyebabkan ketagihan. Ubat ini terdiri daripada Fuloxetine, Sertraline, Venlafaxine, Amitriptyline. Dapatkan nasihat doktor pakar berkaitan ubat yang bersesuaian supaya ianya selari antara ubatan dengan pemulihan secara semulajadi. (*ubatan hanya membantu secara luaran sahaja..jiwa dan minda harus di rawat dengan tingkahlaku dan pemikiran sendiri serta sokongan orang terdekat)