Wednesday, June 8, 2016

KEGANASAN RUMAHTANGGA


ASSALAMMUALAIKUM DAN SALAM RAMADHAN...

Hari ini saya terpanggil untuk memaparkan isu berkaitan dengan masalah keganasan rumahtangga yang masih lagi ditahap membimbangkan. Selaku kaunselor dalam bidang kebajikan saya banyak mengurusakan hal berkaitan dengan keganasan rumahtangga dan sebelum ini pun saya ada juga menguruskan hal ini semasa saya bergelar kaunselor dalam bidang pemulihan dan penyalahgunaan dadah. Namun semasa saya bertugas dalam bidang pemulihan dan penyalahgunaan dadah penglibatan saya agak terbatas kerana fokus hanya pada penagih manakala klien yang terlibat dengan keganasan rumahtangga adalah “significant other”. Apabila mendapat isu berkaitan saya akan membuat rujukan kepada kaunselor di JKM. Namun sekarang apabila berada di bidang dan laluan kebajikan sebenar, barulah penglibatan terus kepada mangsa mahupun pemangsa. Jom kita tinjau maklumat berkaitannya.



 Apakah Keganasan Rumah Tangga?
Mengikut Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521), keganasan rumah tangga melibatkan 8 perlakuan keganasan iaitu sebarang kelakuan yang menyebabkan mangsa takut dicederakan, sebarang kelakuan yang menyebabkan kecederaan pada fizikal mangsa, sebarang ancaman untuk melakukan perbuatan berbentuk seksual, sebarang kelakuan yang mengurung mangsa tanpa kerelaan, sebarang kelakuan yang menyebabkan kemusnahan kepada harta mangsa, sebarang kelakuan yang menyebabkan kecederaan emosi kepada mangsa dan sebarang kelakuan yang menyebabkan mangsa mengalami delusi. Oleh yang demikian, apa jua bentuk perlakuan yang menyebabkan atau menjurus kepada 8 keadaan di atas adalah terkait dengan kes keganasan rumah tangga.
Perlakuan keganasan yang disebutkan diperlakukan ke atas mana-mana ahli keluarga sama ada isteri atau suami, bekas isteri atau bekas suami, kanak-kanak atau mana-mana anggota lain keluarga termasuklah warga emas dan orang kurang upaya. Oleh itu, mana-mana individu yang diperlakukan dengan kelakuan keganasan seperti yang disebutkan di atas adalah dikatakan sebagai mangsa kepada keganasan rumah tangga. Fokus utamanya adalah melibatkan fizikal dan emosi (Mental).
Pentingnya Kesedaran Mengenai Keganasan Rumah Tangga
Keluarga merupakan institusi asas kepada pembentukan sesebuah masyarakat, sesebuah negara dan akhirnya membentuk populasi dunia. Kesejahteraan masyarakat antara negara adalah ditentukan oleh sejauh manakah keluarga yang membentuk komuniti tersebut mencapai kesejahteraan dalam kehidupan mereka kemudian menghasilkan masyarakat dan komuniti yang sejahtera juga.
Sebaliknya, kepincangan dalam pembangunan sesebuah institusi asas ini, tentunya akan memberi kesan kepada pembangunan masyarakat, negara dan akhirnya merosakkan pola pembentukan populasi dunia yang sejahtera. Imam Hassan Al Banna juga menegaskan bahawa, pembentukan sebuah masyarakat, kerajaan, negara, empayar dan masyarakat dunia, adalah berpaksi kepada kesejahteraan diperingkat keluarga yang didiami oleh individu-individu yang sejahtera.
Apakah Peranan Kita?
 Tiga peranan besar yang perlu dimainkan oleh ahli masyarakat dalam konteks ini. Pertama ialah prihatin kepada masyarakat sekeliling. Kita sebagai masyarakat sekitar dan hidup bermasyarakat perlu sentiasa prihatin terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita termasuklah jiran tetangga, rakan pejabat dan orang-orang yang sentiasa kita jumpa. Keprihatinan yang dimaksudkan ialah mengambil tahu perkembangan semasa dengan sentiasa menghululkan bantuan apabila diperlukan atau bertegur sapa ketika bertemu jika ada merasakan sesuatu yang tidak kena pada tempatnya.
Kedua ialah berperanan menyebarkan kesedaran dan kefahaman di kalangan setiap ahli masyarakat untuk bersama-sama menangani kes keganasan rumah tangga. Berdasarkan pemerhatian, kebanyakan mangsa yang terlibat dalam kes keganasan rumah tangga tidak mengetahui kepada siapa yang boleh mereka mengadu dan tidak mengetahui bentuk bantuan dan perlindungan yang disediakan. Ini menyebabkan mereka ketakutan dan terus menjadi mangsa keganasan rumah tangga sehingga keadaan menjadi lebih meruncing. Ketiga, kita juga seharusnya mempertingkatkan pengetahuan dan kesediaan sebelum memasuki alam rumah tangga supaya tidak terjebak sebagai mangsa atau menjadi suspek dalam kes keganasan rumah tangga. Sama ada kita menjadi mangsa mahupun pemangsa ianya adalah sesuatu yang dapat dielakkan jika kita berusaha membantu diri dan orang yang kita sayang. Ilmu pengetahuan dan sikap membenarkan individu yang berkelayakkan membantu diri dikala terdapatnya masalah adalah tunggak utama kepada penyelesaian.
Dalam undang-undang di Malaysia, Perkara ini dititik beratkan dan ianya termaktub dalam Akta Keganasan Rumahtangga 1994 (Akta 521) (AKRT) dan terdapat pindaan bagi memfokuskan lagi dan menambah baik lagi akta ini dalam Garis Panduan Pengendalian Kes Keganasan Rumahtangga


Membaca garis panduan ini untuk mengetahu hak dan peranan pelbagai pihak yang boleh membantu adalah satu ilmu yang perlu ada untuk setiap orang. Selain itu, terdapat beberapa peruntukan di bawah enakmen undang-undang islam yang berkaitan dengan isu AKRT ini. (saya tidak memberi maklumat berkaitan kerana setiap negeri tertakluk kepada enakmen undang-undang islam negeri itu sendiri). Selain itu, terdapat juga peruntukan di bawah perspektif undang-undang awam antaranya :
Kanun Keseksaan 
Kebanyakan keganasan dalam rumahtangga sama ada dilakukan dalam rumah atau diluar rumah adalah kesalahan yang boleh dihukum dibawah Kanun Keseksaan. Bab 16, Darihal kesalahan-kesalahan mengenai tubuh manusia, termasuk mematikan orang dibawah seksyen 291 Kanun Keseksaan. Seksyen 300 Kanun Keseksaan iaitu membunuh orang. Seksyen 319 iaitu mendatangkan kecederaan. Seksyen 320 iaitu mendatangkan kecederaan parah, Seksyen 350 berkenaan dengan kekerasan Jenayah, Seksyen 375 kesalahan berhubung dengan seks termasuk rogol, seksyen 377A melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabi’I.
seksyen 377D iaitu kesalahan mengenai melanggar kesopanan, seksyen 377 E iaitu meransang seseorang kanak-kanak untuk melakukan suatu perbuatan kelucahan melampau, Seksyen 312 kesalahan mengenai anak termasuk menyebabkan keguguran, seksyen 316 iaitu menyebabkan kematian  anak yang belum lahir yang telah bersifat, seksyen 318 mendedah dan membuang kanak-kanak, seksyen 319 menyembunyikan kelahiran dengan jelas membuang mayat dengan sulit, seksyen 37A iaitu kesalahan terhadap harta termasuk mencuri, seksyen 383 iaitu pemerasan, seksyen 420 melakukan penipuan
Kanun Acara Jenayah (Berkaitan IPO)
Akta perlindungan kanak-kanak 1991 (Akta 468)
Akta perlindungan Wanita dan gadis 1973 (Akta 106)
Akta Perempuan bersuami 1957 (Akta 50)

Moga perkongsian yang sedikit ini memberi manfaat buat kita bersama. Namun begitu, jika pasangan, mangsa mahupun pemangsa masih boleh membetulkan kesilipan dan kesalahan serta yakin boleh menjadi lebih baik hasil dari perbincangan dan bantuan pihak ke tiga, klien disaran berjumpa dengan pakar psikologi mahupun kaunselor sekiranya belum terlambat dan ianya dipersetujui kedua-dua pihak serta tidak memudaratkan mana-mana pihak demi kepentingan bersama. Semoga bahtera yang dilayarkan di kemudi bersama-sama dengan bahagia dan ketahuilah setiap masalah InsyaAllah ada jalan penyelesaiannya andai kita sendiri mahu mencari yang terbaik buat yang tersayang. Perceraian dan penggunaan akta serta undang-undang adalah jalan terakhir perlu digunakan andai masih ada sinar kebahagiaan. 

Keluarga bahagia pilihan kita...bahagia atau tidak diri dan keluarga kita...kita yang tentukannya..


.....SALAM SAYANG.....




0 Comments: